Thursday 26 January 2023

SEJARAH NGERI BELANDA

 

Cuba bayangkan, seorang presiden dibunuh dan dimakan oleh rakyatnya sendiri kerana kegagalan melindungi negara mereka. Tragedi itu terjadi di negara Eropah iaitu Belanda. Pada abad 17 antara 1575 hingga 1672, Belanda merupakan negara yang kaya dan mewah serta dikenali sebagai zaman keemasan. 

Seorang lelaki, Johan de Witt seorang yang kaya dan mendapat pendidikan sempurna. Ayahnya ialah ahli politik, kerana itu dia dapat mencipta nama dalam bidang politik pada usia muda.

Ketika Johan menamatkan pelajarannya, berlaku kemelut politik sehingga dia melibatkan diri sebagai pemimpin dan ahli politik. Oleh itu, dia dipilih sebagai counsellor pensionary. Setara jawatan Perdana Menteri.

Pembentukan ‘Triple Alliance’ pada 1668 ialah pakatan diplomatik antara Sweden, Republik Belanda dan England untuk menentang Perancis. Ketika itu, Perancis diperintah oleh Raja Louis XIV.


Pada 1672, Raja Louis melancarkan perang ke atas Spanish Netherlands. Kesan peperangan itu menyebabkan orang ramai terkorban. Kejadian itu merupakan titik terakhir kepimpinan Johan. Rakyat Belanda beralih kepada William III sebagai pemimpin dan menuduh Johan sebagai pengkhianat.

Cornelis, abang kepada Johan dipenjara atas dakwaan palsu bahawa dia merancang membunuh William III. Ketika Johan mahu melawat abangnya di penjara, dia diserang oleh orang ramai dan dibunuh pada 20 Ogos 1672.

Kedua-dua beradik ini digantung di luar penjara. Mayat mereka dipotong dan disiat-siat serta dicacatkan. Selain itu, bahagian badan mereka dibawa pulang untuk dimasak dan dimakan.

“Kami benci dia, maka kami makan dia,” pengakuan daripada orang ramai kerana kebencian kepada Johan de WItt

Wednesday 25 January 2023

WARISAN DAN BUDAYA- SEJARAH HARI RAYA

 

Tahukah anda yang sebenarnya hari raya Melayu mempunyai kaitan dengan persediaan untuk peperangan pada zaman dahulu?

Apabila berakhirnya bulan Ramadan, Syawal akan disambut dengan Takbir Raya sebelum solat sunat di pagi hari, bukan?

Jika anda hendak tahu, takbir ini sebenarnya adalah takbir perang.

Dalam Alam Melayu, Takbir Raya ini dikatakan sebagai Takbir Besar dan takbir ini merujuk kepada takbir perang.

Takbir besar ini terbahagi kepada dua iaitu takbir sebelum perang dan takbir selepas perang.

Dikatakan, takbir sebelum perang bunyinya rancak dan kasar. Manakala, takbir selepas perang pula bunyinya mendayu-dayu dan sedih.

Apa yang kita dengar tatkala di pagi raya adalah takbir selepas perang dimana ia sudah kekal sejak tahun 1889 lagi.

Dalam takbir ada menyebut ‘Memuliakan tenteraNya dalam mengalahkan tentera al-Ahzab’. Sebenarnya, takbir ini dilaungkan oleh tentera laksamana Melayu semasa menentang penjajah.

Lebih menarik lagi, bermain meriam ketika raya hanya bangsa Melayu sahaja yang melakukanya. 

Bukan itu saja, hari raya sebenarnya adalah hari dimana bangsa Melayu berlatih membuat persediaan menghadapi peperangan yang dilakukan setiap tahun.

Bagaimana orang dulu-dulu menyambut hari raya ini? 

1. Perarakan Malam Hari Raya

Perarakan malam raya pada zaman dahulu selalunya dimulakan dengan kompang Arak-Arakan dan disambung dengan Gendang Perang. 

Pada ketika itu, mereka yang menyertai perarakan melambangkan sokongan dan taat setia kepada pemerintah setempat.

Perarakan ini akan diketuai oleh Penghulu Pawai. Pawai adalah orang yang membawa alat kebesaran dan kelengkapan istana jika tiada wakil istana yang hadir.

2. Takbir Hari Raya
Dahulu, setelah selesai solat di masjid, takbir akan disambung pada setiap rumah tokoh pahlawan, penghulu dan di rumah mereka yang dimuliakan.

Hal ini masih lagi ada diamalkan di sesetengah kampung pada zaman sekarang. Disamping itu, takbir hari raya juga merupakan satu simbol berperang dengan hawa nafsu.

3. Bermain Meriam
Walaupun sekarang sudah jarang dilakukan atas sebab keselamatan, dahulu permainan meriam buluh dilakukan dikawasan perkampungan selepas habis solat di masjid.

Peluru yang digunakan untuk meriam buluh itu dibuat daripada bola buatan atau tempurung kering yang diwarnakan. 

Pemenang permainan meriam ini adalah kepada empunya peluru yang diletupkan meriam buluh yang paling jauh.

Dengan bermain meriam buluh, dikatakan secara tidak langsung telah melatih pemain meriam untuk membina meriam yang bagus untuk berperang.

4. Makanan Perang 
Sebenarnya, rendang Tok, serunding, dan dodol merupakan makanan perang kerana ianya adalah makanan yang tahan lama dan susah basi. Menarik bukan?

Dahulu, makanan seperti ini dicipta oleh Bendari, iaitu tukang masak tentera laut di kapal supaya mereka tidak terputus bekalan makanan.

Bukan itu saja, makanan ini juga penting untuk terus dipelajari agar orang Melayu tidak risau jika punca makanan disekat musuh ketika perang.

5. Persembahan Silat
Persembahan seni perang ini juga dilakukan selepas solat di masjid. Difahamkan, persembahan silat dijadikan permainan agar disambut dengan gembira.

Persembahan silat ini juga mempunyai persamaan dengan orang Sudan dahulu kala di hadapan nabi Muhammad S.A.W.







WARISAN DAN BUDAYA- BAJU KURUNG DAN BAJU MELAYU

 

Menurut sejarawan, baju kurung telah diperkenalkan sejak alam Melayu lagi dan didapati mempunyai pengaruh daripada pedagang Islam dan India.

Hal ini kerana potongan leher yang berbentuk Tunik merupakan bentuk leher yang pada asalnya digayakan oleh orang Arab terdahulu.

Kemudian, baju kurung telah diperkenalkan secara meluas dan dikuatkuasakan oleh Sultan Muhammad Syah iaitu sultan Melaka. 

Pada 700 tahun dahulu, baju melayu sebenarnya turut digelar sebagai baju kurung. Selain itu, pakaian ini mempunyai rekaan baju yang agak singkat dan ketat.
Sejurus itu, busana tradisional ini telah dimodenkan oleh sultan Johor dan inilah busana yang digunakan sehingga hari ini. 

Bagindalah yang memperkenalkan Baju Melayu Teluk Belanga, dimana pakaian ini mempunyai jahitan kemas di kolar bulat dan satu butir butang.

Begitu juga dengan baju kurung, busana ini merupakan pakaian wanita yang sopan dan dipakai ketika menghadiri majlis dan adat.

Baju kurung tradisional mempunyai beberapa aspek yang berbeza dengan ciri-ciri kurung moden.

Busana ini berpesak, berkekek, berleher bulat dan labuh sehingga di bawah paras lutut serta dikemaskan dengan jahitan tulang belut.
Selain itu, baju melayu juga telah mengalami beberapa perubahan. Contohnya, Baju Melayu Cekak Musang yang diperkenalkan oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar.

Baju melayu ini mempunyai potongan kolar menegak dan disertakan dengan lima butir butang.

Rekaan baju melayu dikatakan mempunyai maksud tersirat yang berkaitan dengan agama Islam. 

Sejarawan Azah Aziz mengatakan lima butir butang pada cekak musang melambangkan lima Rukun Islam.

Disamping itu, enam pesak di sisi baju pula merupakan simbolik bagi enam Rukun Iman, tiga buah kocek baju pula mewakili tiga tuntutan dalam Islam iaitu Islam, Iman dan Ihsan.

WARISAN DAN BUDAYA - TARIAN ULEK MAYANG

 

Ulek Mayang berasal dari Terengganu, satu tarian yang terkenal kerana kaitannya dengan alam mistik. Ulek Mayang di katakan bermula ratusan tahun dahulu. Ia sebenarnya sebuah mentera yang di nyanyikan untuk menghalau roh laut yang jahat. Lagenda menyatakan sekumpulan nelayan telah keluar ke laut. Di tengah laut, tiba-tiba sebuah ribut yang kuat memukul perahu mereka lalu mereka tercampak ke laut. Dalam keadaan yang cemas, laut yang masih bergelora, mereka menyerah sahaja nasib mereka.

Selepas reda laut, kesemua nelayan di hanyut ke pantai. Seorang demi seorang terjaga. Hanya seorang sahaja yang tak terjaga. Mereka percaya bahawa jasadnya ada d sini tapi jiwanya terperangkap di alam lain. Mereka meminta bantuan bomoh untuk mengembalikan kawan mereka.  Bomoh tersebut membaca mantera dan apabila diseru dia mendapati nelayan itu dipukau oleh Semangat Laut.

Seorang puteri bunian ingin menduga kesemua nelayan tapi hanya seorang yang tertawan. Nelayan itu terperangkap dan merayau-rayau di alam bunian. Bomoh itu cuba mengembalikan nelayan itu ke dunia nyata tetapi di halang oleh puteri bunian. Pertarungan menjadi senget apabila seorang demi seorang adik beradik puteri bunian (hingga 6 orang) datang membantunya.

Akhirnya Puteri Sulung muncul, puter ke-7, muncul. Paling cantik, bijak dan kuat antara mereka. Bomoh itu mengambil kesempatan dengan merayu kepada Puteri ke-7 agar dipulangkan semangat nelayan itu. Menyedari kenakalan adik-beradiknya, Puteri sulung memerintahkan pertarungan itu dihentikan.

“aku tahu asal usul mu, biarkan yang laut pulang ke laut, yang darat pulang ke darat”. – kata Puteri sulung. Tanda terima kasih, bomoh itu menyerahkan nasi berwarna kepada puteri-puteri bunian. Nelayan itu sedar tidak lama kemudian.

Dahulu, lagu Ulek Mayang akan disertakan bersama tarian. Ritual ini selalunya dilakukan di kawasan tepi pantai yang digunakan sebagai kaedah untuk merawat penyakit seseorang. Biasanya penyakit-penyakit mistik seperti kerasukan, tidak sedar diri dan lain-lain.

Tarian  ini  ditarikan  secara  beramai-ramai  antara  10  hingga  15 orang  dalam  bentuk  bulatan  untuk  memuja  Tuan Puteri Tujuh  beradik. Persembahan  ulik  mayang  ini  dimainkan  dengan  menggunakan  Mayang  Pinang. Persembahan  ini  dimainkan  beramai-ramai dengan  membuat  bulatan  dan  pemegang  duduk  di  tengah-tengah  dan  tidak  ada  muzik  yang  mengiringi  persembahan  ini. Mayang yang  digunakan  dalam  persembahan  ini  diasap  kemenyan  dan  disapu  minyak  kelapa  terlebih  dahulu. Sebelum persembahan  dibacakan  doa  dan  bangkitan  dilakukan  untuk  memohon  perlindungan  agar  orang yang  mengambil  bahagian  tidak  ditimpa  apa-apa  kemalangan. 

Namun zaman sudah berubah, tarian dan lagu Ulek Mayang kini dijadikan sebagai persembahan budaya ketika majlis-majlis tertentu.

LOKASI YANG DIKUNJUNGI - LANGKAWI

 

Pulau Langkawi ialah pulau pelancongan paling popular di Malaysia. Ia adalah salah satu daerah dalam negeri Kedah. Pelancong yang ingin melawat pulau ini boleh menaiki kapal terbang atau feri dari Jeti Kuala Kedah, Jeti Kuala Perlis atau Jeti Penang. Pulau ini terkenal dengan aktiviti membeli-belah. Ia telah di isytihar sebagai pulau bebas cukai pada tahun 1987.

Keistimewaan Pulau Langkawi ialah kerana adanya beberapa tarikan alam semulajadi yang unik. Antara destinasi pelancongan yang popular ialah Kilim Geoforest Park, Pulau Dayang Bunting, pantai Chenang dan air terjun Telaga Tujuh. Selain itu, pelancong boleh melihat pemandangan seluruh Pulau Langkawi dari puncak Gunung Mat Chinchang dengan menaiki kereta kabel.

Selain tarikan alam semulajadi, banyak usaha telah dilakukan bagi menarik kehadiran pelancong. Berbagai aktiviti diatur saban tahun seperti LIMA, Tour de Langkawi, Iron Man Malaysia Langkawi dan sebagainya. Berbagai tempat menarik dibangunkan seperti Underwater World, Laman Padi, Taman Buaya dan lain-lain.

TEMPAT YANG MENARIK

1. Kereta Kabel Langkawi - SkyCab Panorama Langkawi

Kereta Kabel Langkawi atau lebih dikenali sebagai Langkawi Cable Car ialah salah satu tarikan pelancongan utama di Pulau Langkawi. Mula beroperasi pada 25 Februari 2005, ia sering menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negeri.

Apa yang menarik tentang Kereta Kabel Langkawi adalah ia mempunyai laluan yang paling curam di dunia. Ia juga merupakan pengangkutan utama untuk ke puncak Gunung Mat Chinchang (Machincang) dimana pengunjung dapat melihat keindahan alam semulajadi, pemandangan menarik Langkawi dan pulau-pulau diperairannya.

Kereta Kabel Langkawi terletak di Oriental Village iaitu di kaki Gunung Mat Chinchang. Pengunjung boleh kesini dengan bas, van atau kereta sewa pandu sendiri. Jarak dari pekan Kuah ke Langkawi Cable Car lebih-kurang 30KM, manakala dari Pantai Cenang pula ialah kira-kira 20KM.

Kereta Kabel Langkawi akan membawa penumpang ke puncak Gunung Mat Chincang. Disepanjang perjalanan lebih-kurang 15 minit ini, penumpang akan dapat melihat pemandangan hutan semulajadi yang menghijau dari udara, kata orang putih bird eye's view. Apabila semakin tinggi, lautan dan pulau-pulau kecil diperairan Langkawi mula kelihatan. Penumpang juga dapat menyaksikan kelainan jenis pokok-pokok apabila ketinggian berbeza serta struktur batuan yang berusia lebih 500 juta tahun.

Semasa menaiki Kereta Kabel Langkawi, dari jauh kelihatan Gunung Mat Chinchang tersergam indah. Penumpang akan melihat hutan semulajadi yang meliputi kawasan ini. Dibahagian bawah, kelihatan pokok-pokok yang tinggi menghijau. Gondola akan melalui puncak pokok-pokok ini.

arikan lain yang ada dipuncak Gunung Mat Chincang ialah SkyBridge atau Jambatan Gantung. Ia adalah sebuah jambatan berbentuk melengkung yang dibina di puncak Gunung Mat Chincang. Jambatan ini digantung pada sebuah tiang (menara) setinggi 82 meter. Ia merentasi dua puncak dengan ketinggian lebih-kurang 100-meter dari tanah. Panjang jambatan dari hujung ke hujung ialah 125 meter.

Hanya 250 orang pengunjung sahaja boleh berada diatas jambatan pada satu-satu masa. Pada yang berminat untuk merasa debaran berada diatas jambatan gantung ini, tiket boleh didapati melalui kaunter tiket SkyBridge di Stesen Atas. Harga tiket dewasa ialah RM6 dan kanak-kanak RM4.

2.Underwater World Langkawi

Underwater World Langkawi ialah salah satu tempat menarik paling popular dikalangan pelancong yang melawat pulau bebas cukai ini. Hampir semua ejen pelancongan memasukkan tempat ini sebagai salah satu lokasi lawatan didalam pakej mereka. Underwater World Langkawi menawarkan koleksi akuarium yang menempatkan berbagai spesis hidupan air tawar dan hidupan laut dari serata dunia. Underwater World Langkawi terletak di Pantai Cenang. Lokasinya ialah dihujung pantai, diatas bukit yang menjadi pemisah Pantai Cenang dan Pantai Tengah.

3.Kota Mahsuri Langkawi

Kota Mahsuri Langkawi adalah antara tarikan pelancongan utama di Pulau Langkawi, Kedah. Ia dibangunkan di kampung asal Mahsuri dimana beliau dikebumikan. Selain Makam Mahsuri, berbagai artifak peninggalan sejarah dikumpulkan di dalam sebuah kompleks yang luas. Perkampungan kecil termasuk rumah-rumah tradisional dibina semula berdasarkan seni rekabentuk pada zaman itu. Kota Mahsuri terletak di Kampung Mawar, Mukim Ulu Melaka.Lokasinya sangat menarik dimana pemandangan sawah padi dan bukit-bukau yang menghijau begitu mempersonakan.
Kota Mahsuri Pulau Langkawi adalah destinasi tarikan pelancongan Warisan dan Sejarah. Tarikan utama adalah Makam Mahsuri yang terkenal dengan lagendanya.  Namun ia tidak terhenti disitu sahaja.

Pengunjung dapat melihat dan mempelajari budaya, rekabentuk dan senibina serta artifak selain sejarah itu sendiri. Tempat pertama yang anda akan lalui setelah membayar tiket masuk ke kota ini ialah bangunan Kota Mahsuri. Ia agak luas dan pengunjung akan mengikut laluan dimana pameran kebudayaan, lukisan dan artifak sejarah dapat dilihat.




PENGARANG SASTERA - SITI ZAINON ISMAIL

 

Siti Zainon Ismail dilahirkan di Gombak pada 18 Disember 1949, penyair tanah air yang mempunyai riwayat yang panjang dalam bidang penulisan seni sastera, budaya dan akademik. Beliau merupakan lulusan Sekolah Menengah Aminuddin Baki (1964-1968). Di samping meminati penulisan, Siti Zainon Ismail berbakat sebagai pelukis dan pernah dididik oleh Idris Salam dan Naz Achnas. Oleh sebab cita-citanya membumbung tinggi, dalam usia 20 tahun, selepas Sijil Tinggi Pelajaran, beliau meneruskan pengajiannya di Yogyakarta, mengambil jurusan Seni Lukis di Akademi Seni Rupa Indonesia (ASRI). Beliau pernah berdampingan dengan pelukis terkenal Indonesia seperti Affandi dan lain-lain.

Siti Zainol Ismail mengarifi ABC seni lakon, seni tari dan seni lukis. Pedagogi dan filsafat seni juga ditekuni. Apabila beliau kembali ke tanah air, beliau meneruskan tingkat Sarjana Sastera (pengkhususan Reka Bentuk Tradisional Melayu) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan seterusnya Ijazah Doktor Falsafahnya (Busana Melayu) di Universiti Malaya (UM) melalui asuhan Profesor Mohamad Taib Osman dan Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.

Pada tahun 1976, Siti Zainon Ismail menjadi tutor di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM. Beliau menjadi pensyarah pada tahun 1980-1992 di universiti yang sama. Kemudian beliau diangkat menjadi Profesor Madya pada tahun 1995-1996. Beliau dilantik sebagai Felow Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM. Siti Zainon Ismail seterusnya dilantik sebagai Pengarah Unit Kebudayaan Melayu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UKM (1996-1999). Dilantik sebagai Profesor Kebudayaan Melayu, Sejarah Seni dan Ketamadunan  Melayu, Pusat Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM pada tahun 2003-2004. Pada tahun 2006, Siti Zainon Ismail dilantik sebagai Profesor Luar Biasa di Universitas Jabal Ghafur, Aceh Indonesia. Pada tahun 2007-2008 beliau dilantik sebagai Sarjana Tamu di ATMA. Pada tahun 2009-2010, beliau menjadi Ahli Lembaga Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor. Pada 2010-2014 menjadi Pensyarah Bebas Warisan Budaya dan Estetika. Pada tahun 2014-2016 beliau menjadi Profesor Sejarah dan Estetika Seni dan Penyelaras Kursus Teras di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dengan kelulusan dan pengalaman yang luas itu, garapan seninya melalui puisi dan cerita pendek digarap secara berestetika. Jika puisinya bernada tinggi bagi membela rakyat yang hina dina, dibawakannya dalam nada yang bukan propaganda. Siti Zainon Ismail memenangi Hadiah Karya Sastera 1976 untuk puisinya “Romansa Petani di Gunung”.

Pembelaannya terhadap masyarakat marhaenbukanlah secara pretense. Bapanya, Ismail bertahun-tahun bekerja sebagai buruh kereta api yang membakar dan menempa besi menjadi alat bagi bola-bola besi dan roda kereta api di bengkel kereta api Sentul. Dia menghayatinya dalam “Tukang Besi di Bengkel Keretapi”.

Sensitiviti Siti Zainon Ismail terhadap erti kehidupan dan maruah diri rakyat kecil mengangumkan. Namun sebagai sasterawan beliau terus mencari makna diri dan peribadinya sebagai penyair. Beliau mencari pengucapannya yang tidak lagi meniru penyair besar sebelumnya yang terbayang dalam kreativitinya. Apalagi beliau sudah maklum akan erti seni audio-visual yang dipelajarinya di ASRI. Seni audio-visual yang diperkasakan dan dikuasai nya bertahun-tahun di ASRI dimanfaatkan sepenuhnya. Beliau mencari makna Siti Zainon Ismail dalam keseniannya, seni puisi dan prosa serta seni lukisnya.

Selain memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia untuk puisinya, Siti Zainon Ismail sudah dimartabatkan sebagai penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) dari Thailand pada tahun 1989. Beliau giat membaca puisi dan membentangkan kertas kerja pada peringkat Negara dan mancanegara. Pendapatnya didengar, kuliahnya mendapat perhatian para mahasiswa. Bidangnya selain persuratan Melayu, juga tentang hal ehwal seni budaya dan busana Melayu di Nusantara. Beliau pernah dilantik sebagai Profesor Luar Biasa di Universitas Jabal Ghafur, Aceh. Beliau juga pernah melakukan perjalanan seni marathon di Malaysia dan di Indonesia dengan mengadakan pameran lukisan dan bicara karya. Ketika ziarah seninya, beliau sempat bertemu dengan Presiden Habibie, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan kalangan sasterawan Indonesia berbobot seperti A. Hasjmy, Moechtar Lubis, Goenawan Mohamad, Taufiq Ismail, Ajip Rosidi, N.H. Dini dan lain-lain.

Lihatlah sumbangannya yang ilmiah, kreatif dan nonkretif. Perjalanan mengengsong langit dan bumi Tuhan dalam merembuk ilmu dan memintal keyakinan diri, rupa-rupanya beliaulah serikandi Melayu, anak Malaysia yang telah mengukir nama utuh di persada bumi Allah sebagai khalifah yang mengenal dirinya. Apa-apa yang ada dalam diri dipersembahkan kembali kepada anak watan dan dunia kemanusiaan. Padi yang kuan berisi, kian merunduk. Beliaulah butiran mutiara dalam perut tiram tenggelam di samudera dalam, kini mengerlap dengan cahanya. Beliaulah butiran Sasterawan Negara Ke 14 yang menyosong dan tak diendahkan wajahnya sebelum ini. Namun Kun Fa Yakun sudah menampilkan Kun-Nya. Marilah kita meraikan kemenangannya atas 99 nama dan sifat Allah yang indah.

BUKU SASTERA- SUNGAI MENGALIR LESU (A. SAMAD SAID)

 

Berdasarkan pengalaman nyata dari Singapura pada zaman perang pendudukan Jepun lahirlah sebuah novel realisme sosial yang merakamkan nasib sekelompok manusia yang diberi judul Sungai Mengalir Lesu. Novel ini merupakan karya pengarang besar sasterawan A Samad Said (mesra dipanggil Pak Samad). Sungai Mengalir Lesu, merupakan novel kedua Pak Samad. Novel ini lahir selepas karya sulungnya,  Salina (1961). Seiringan dengan tajuk, dari latar jambatan dan sungai di kota Singa ini terbentang sebuah kehidupan manusia disekitar kawasan itu.  Sungai Mengalir Lesu setebal 153 halaman padat dengan watak-watak berbilang bangsa dan agama, berbeza usia, gender dan tempat. Tetapi semua perbezaan itu dipertemukan pengarang dalam novel ini menerusi jalinan persamaan nasib, iaitu korban peperangan!

Justeru itu, jambatan hijau dan sungai menjadi elemen penting yang menghubungankan watak-watak dalam novel ini. Permasalahan yang diketengahkan pengarang ternyata memberi impak yang berbeza dengan novel lain pada waktu itu. Namun begitu, rasa kemanusiaan itu tetap sama. Pengarang menjelaskan bahawa perang mengakibatkan masalah bekalan makanan dan kebuluran. Dalam keadaan yang tegang dang terdesak pada waktu itu, sungai adalah amat penting dan menjadi sumber rezeki.

Penciptaan novel Sungai Mengalir Lesu ini terhasil dengan gabungan sensitiviti dan kreativiti A. Samad Said. Idea-idea beserta pengalaman hidupnya yang lampau semasa tinggal di Singapura banyak menjadi inspirasi untuk menyusun jalan cerita ini.

          Tidak seperti novelnya yang sebelum ini, Salina. Kali ini A. Samad Said membuat kelainan sedikit dari segi ketebalan dan juga skop manusia yang terlibat. Jika dalam novel Salina, skop manusia yang ditampilkan adalah individu. Dalam Sungai Mengalir Lesu, isu yang lebih luas dan melibatkan keluarga demi keluarga, kisah sebuah kampung, sebatang sungai dan sekumpulan manusia dalam suatu era yang mengerikan. Dalam novelnya kali ini, A. Samad Said merakamkan satu peristiwa yang besar dan luas dalam suatu ruangan terbatas.

Sebagai seorang yang sememangnya membesar semasa zaman penjajahan, pastinya tidak menjadi masalah untuk beliau menggambarkan keadaan pada ketika itu. Isu peperangan yang diangkat dalam novel ini sesuai dengan pengalaman peribadinya yang pernah melihat bagaimana British dan Jepun menakluk Tanah Melayu.

Novel ini bermula sewaktu penghujung pendudukan Jepun di Singapura, semasa perang Pasifik dan kemaraan Tentera Bersekutu di Asia. Sepanjang cerita ini, pembaca akan dapat merasakan perasaan kegugupan akibat bom-bom yang meletup merata-rata tempat.

A. Samad Said melihat penciptaan novel seperti Sungai Mengalir Lesu cukup penting sekarang ini. Terutamanya dalam keadaan masyarakat dipisah-pisah, diasingkan, terbiar bergelap, tanpa sedar, terkapai-kapai dan sedang meniti kekaburan masa depan.

Gaya penulisan A. Samad Said sememangnya berbentuk balada dan naratif. Jika isu pelacuran dan kawasan setinggan yang terdapat dalam mana-mana karya beliau mempunyai similar dengan novel Salina, isu zaman penjajahan di Singapura pula juga mempunyai similar dengan novel Di Hadapan Pulau.

TOKOH AGAMA- USTAZ AZHAR IDRUS

 


U
staz Azhar Idrus lahir pada 12 Februari 1964 di Kampung Ladang, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.Ustaz Azhar mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Hj Mohd Sharif, Alor StarKedah. Selepas tamat pengajian di peringkat rendah, beliau menyambung pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Darulaman, Alor Star, Kedah sampai ke tingkatan 2. Apabila beliau memasuki ke tingkatan 3, beliau berpindah ke negeri kelahirannya di sekolah Inggeris, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu sampai tamat pengajian tingkatan 6. Beliau telah mendapat pendidikan agama secara talaqqi dengan beberapa orang guru agama di sekitar Kuala Terengganu. 

 

Ustaz Azhar Idrus, penceramah dari Terengganu yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat khususnya remaja. Setiap kali beliau berceramah, tidak kira dimana, ribuan yang hadir. Kehangatan Facebook juga sedikit sebanyak “mempopularkan” Ustaz ini dengan setiap kata-kata nasihat dan penjelasan berkenaan agama darinya dikongsikan secara viral dan tidak pernah putus.
Dahulunya Ustaz seorang gitaris dalam satu kumpulan band muzik sekitar Kuala Terengganu “band boy”. Dan sempat membuat beberapa persembahan di stadium-stadium.
Setelah kumpulan muziknya mengambil keputusan untuk buat rakaman, Ustaz menarik diri kerana tujuanya hanya suka-suka sahaja menyertai kumpulan muzik bukannya untuk mencari glamor.

 

Ustaz yang aktif bersukan dan pernah mewakili Terengganu dalam acara berbasikal pada tahun 1980an. Dan menjadi rutin kelapangan masa waktu malam, Ustaz akan berbasikal meronda sekitar Bandar Kuala Terengganu bersama-sama kawan-kawan. Dan ada juga yang meminta Ustaz untuk merasmikan program berbasikal.
Ustaz Azhar pernah bekerja dengan Utusan Malaysia cawangan Kuala Terengganu sebagai artis grafik. Selepas berkahwin seminggu pada tahun 1990, Ustaz mengambil keputusan berhenti kerja dan bekerja sebagai mencanting batik dan ketika inilah beliau memperlajari bidang ilmu agama secara bersungguh-sungguh.
Tiada alasan baginya hujan dan ribut. Beliau yang pergi mencari guru-guru agama dan belajar dirumah guru berkenaan.
Perubahan diri Ustaz kearah menjadi seorang yang bersungguh belajar agama kerana kawan baiknya seorang ketua “Punk” menghilang diri selama 5 tahun dan apabila muncul kembali kawannya ini satu perubahan yang amat ketara daripada pemakaian dan tingkahlakunya. Tahulah Ustaz bahawa kawannya ini belajar di Patani.

 

Sehingga hari ini, nama Ustaz Azhar Idrus atau lebih mesra sebagai UAI amat disenangi oleh ramai orang terutamanya golongan remaja yang majoritinya mula memahami Islam dengan lebih mendalam selepas mengenali UAI samaada secara bertemu empat mata mahupun sekadar membuat rujukan dari pelbagai ilmu yang disampaikan melalui Youtube, Facebook dan sebagainya. Ustaz Azhar Idrus sangat mesra dan rapat kepada golongan blogger yang menjadikan UAI benar-benar seorang Ustaz yang terbuka mindanya serta celik IT.

PAKAR MOTIVASI- DATO' DR MOHD FADZILAH KAMSAH

 


Dato’ Fadzilah dikenal sebagai pakar motivasi handal asal Malaysia yang lahir di Kampung Sungai Pinang, Klang, Selangor, pada 16 Julai 1951. Tahun ini, beliau sudah lebih dari 35 tahun menjadi motivator untuk 12000 lebih sesi motivasi dengan jumlah peserta hingga 300000 orang dari kalangan pelajar hingga orang dewasa.

Beliau merupakan lulusan Universiti Malaya dengan mendapat “Kepujian Kelas Pertama” dengan jurusan Sains Pertanian di tahun 1975. Kemudian, Dato’ Fadzilah melanjutkan pendidikannya ke University of Wisconsin dan mendapat gelar PhD. pada tahun 1984 dengan permbelajaran terkait komunikasi.

Kariernya dimulai dengan menjadi penceramah di Universiti Putra Malaysia sejak tahun 1977 selama sekitar 17 tahun. Hingga pada tahun 1993, beliau memutuskan untuk mendalami bidang motivator serta mendirikan organisasi yang menyediakan layanan kaunseling dan motivasi untuk keluarga.

Tidak hanya menjadi motivator, ia juga menulis buku yang hingga kini berjumlah 40 judul. Selain itu, beliau juga pernah mengadakan seminar motivasi hingga ke Singapura. Hal yang dapat kita teladani dari Dato’ Fadzilah adalah kemahuannya untuk terus belajar serta konsisten untuk selalu mengembangkan diri.


Saturday 21 January 2023

PENGARANG SASTERA- A. SAMAD SAID


A. Samad Said, seorang pengarang Melayu yang agak unik dan tersendiri dalam perkembangan penulisannya yang dimulai dengan puisi dan cerpen, kemudian meningkat kepada penulisan novel, drama dan kritikan sastera.  Sejak giat mengarang dalam tahun 1950, beliau telah memperlihatkan kekuatan daya kreatif yang sentiasa berkembang dan lebih bersifat meneroka.  Sumbangan A.  Samad Said kepada kesinambungan kesusasteraan Melayu kelihatan cukup menyerlah kerana beliau ialah penulis yang begitu menonjol dalam perkembangan kesusasteraan Melayu yang menyambungkan ASAS 50 dengan angkatan sesudahnya.

Samad dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Semasa  berumur enam bulan, Samad dibawa oleh keluarganya ke Singapura dan beliau mendapat pendidikan asas dan menengahnya di sana.  A. Samad Said belajar di Sekolah Melayu Kota Raja hingga lulus darjah IV (1940 – 1946) sebelum meneruskan pengajiannya dalam kelas petang di Victoria Institution.  Dari situ, beliau belajar sendiri hingga memperoleh sijil Senior Cambridge (1956).

Sejak di bangku sekolah menengah lagi, Samad sudah mulai berkenalan dengan kesusasteraan di dalam dan luar negeri.  Malah, pengarang-pengarang penting di Singapura pun seperti Asraf, Usman Awang, dan Han Suyin telah diketemuinya.  Sajak dan cerpennya mula tersiar sewaktu beliau masih di bangku sekolah.  Sebelum terbitnya novel Salina yang mengharumkan namanya, Samad membaca karya-karya Ajip Rosidi, Rendra, Pramoedya, Achdiat, Hamzah dan Wijaya Mala.  Beliau juga membaca novel-novel Barat seperti Oliver Twist, Wuthering Height dan Almayer’s Folly.  Beliau menggunting cerpen-cerpen daripada akhbar tempatan dan mengkajinya sebelum menghasilkan cerpennya.  Kegiatan menterjemah beberapa karya sastera asing juga secara tidak langsung memperkuat minatnya terhadap kesusasteraan.  Segalanya ini membulatkan tekad dan fikirannya untuk berkecimpung dalam bidang penulisan, dan hasilnya, Samad berupaya menghasilkan pelbagai genre: sajak, novel, drama, esei/kritikan dan terjemahan.  Kecenderungannya terhadap dunia sastera telah berakar dan berkembang dalam dirinya sejak kecil lagi apabila beliau selalu mendengar cerita-cerita daripada ibunya.  Daripada pengakuannya yang merendah diri, Samad berkata : “… kalaulah saya diterima sebagai penulis – saya lahir daripada “Batu Belah batu Bertangkup”.  Saya masih tetap mendengar cerita ini walaupun orang yang menceritakannya ketika memandikan saya, menyuapkan makan saya dan menidurkan saya sudah tidak ada lagi.”

Pekerjaan pertama Samad Said ialah sebagai kerani di Hospital Umum Singapura.  Beliau berasa beruntung bekerja di hospital itu kerana amat sukar baginya mendapat kerja di mana-mana pun pada waktu itu.  Tetapi, di hospital itu, beliau tidak lama bekerja dan hanya dapat bertahan selama enam bulan saja.  Samad kemudian berpindah ke Kuala Lumpur untuk bekerja dengan akhbar Fikiran Rakyat di bawah pimpinan Ahmad Boestamam.  Selepas enam bulan di Kuala Lumpur, beliau kembali semula ke Singapura dan bekerja dengan akhbar mingguan Utusan Zaman di bawah Usman Awang.  Apabila Syarikat Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur dan Usman Awang, Said Zahari, Pengarang Utusan Melayu  waktu itu berpindah sama, Samad Said juga turut berhijrah.  A. Samad Ismail, Pengarang Berita Harian ketika itu, telah memujuk Samad Said agar menyertai Berita Harian.  Di sekitar tahun 1960-an Samad sekali lagi bertukar kerja.  Apabila A. Samad Ismail diberikan tugas lebih besar dalam surat khabar The New Straits Times, Samad Said pula dilantik menjadi Pengarang Berita Harian. Semasa A. Samad Ismail berada dalam tahanan, beliau telah dilantik menjadi penolong khas kepada Pengarang Kumpulan The New Straits Times di samping menjalankan tugasnya sebagai Pengarang Berita Harian.  Tetapi Samad menyedari bahawa minatnya dalam bidang penulisan dan tanggungjawab yang besar yang diamanahkan kepadanya boleh merugikan, bukan sahaja bakat dan kreativitinya, tetapi dunia kesusasteraan umumnya.  Justeru, Samad Said minta dibebaskan daripada menjadi Pengarang Berita Harian dan mulai 8 Mac 1978 Samad bertugas sebagai seorang daripada enam orang penolong khas dengan tugas-tugas tertentu seperti menulis rencana pengarang dan artikel feature.  Sejak akhir 1981, beliau bertugas sebagai Ketua Pengarang akhbar Warta Teberau.  Jawatan terakhir A. Samad Said ialah sebagai Ketua Pengembangan Sastera dalam Kumpulan Akhbar The New Straits Times, Kuala Lumpur.  Kini A. Samad Said menumpukan seluruh masa dan perhatiannya kepada bidang penulisan.

Isterinya, penyair Salmi Manja, seorang penulis yang cukup dikenal oleh peminat-peminat sastera.  Seperti Samad, Salmi juga menulis sajak dan cereka.

Kejayaan A. Samad Said sebagai sasterawan ialah hasil daripada pengalamannya dan berkat kerajinannya membaca karya-karya orang lain.  Dalam karya Samad kita melihat ketelitian dan kecermatannya sebagai pengarang.  Beliau bukan sahaja begitu cermat dan teliti menghadapi dan membentuk watak-watak, tetapi juga terhadap alam, benda hidup dan mati, yang menjadi latar ceritanya.  Beliau seolah-olah mencari erti dalam semuanya itu.  Samad juga sedar bahawa untuk melahirkan karya yang bererti, seseorang tidak hanya bergantung kepada bahan dan bakat kekuatan fikiran sahaja, tetapi pembacaan dan pengalaman yang luas amatlah penting.  Kerana itu, Samad meluaskan pembacaannya kepada bidang politik, sosiologi, ekonomi dan psikologi serta karya-karya besar Li Po, Tu Po dan Rabindranath Tagore.  Cara beliau membaca agak aneh, yakni dengan menggaris atau menanda ayat-ayat, dialog-dialog atau ungkapan-ungkapan yang menarik dalam prosa, novel, dan malahan puisi.  Ini memperlihatkan betapa teliti pembacaan dan pemerhatiannya.  Sikap telitinya ini terpancar juga pada deskripsi dan dalam dialog-dialog karyanya.

Sungguhpun Samad sangat mengutamakan nilai sastera, beliau tidak pula menolak konsep “Seni untuk Masyarakat”, malah puisinya yang pertama diberinya judul “Untuk Angkatan 50” yang tersiar dalam Utusan Zaman (1950).  Samad sendiri pernah menjadi anggota ASAS 50, badan penulis yang bergerak dengan slogan, “Seni untuk Masyarakat “, tetapi pendekatan Samad berbeza daripada penulis-penulis lain. Beliau berhasil memadukan tugas sastera dengan nilai yang diperlukan.  Beliau dianggap sebagai tokoh yang menghubungkan sasterawan-sasterawan 50-an yang mementingkan tema dan mesej dengan sasterawan-sasterawan generasi kemudiannya yang lebih cenderung menekankan nilai dalam kesusasteraan.

Meskipun Samad lahir di tengah-tengah Angkatan 50, tetapi daya ciptaannya berbeza daripada tokoh-tokoh ASAS 50 yang lain.  Hal ini demikian kerana, beliau dibesarkan di kota kosmopolitan Singapura, terdidik secara formal dalam bahasa Melayu dan Inggeris, dan tidak pernah secara aktif terlibat dalam perjuangan politik atau ideologi yang menentang penjajah.  Tokoh-tokoh lain itu terlibat dengan perjuangan membebaskan masyarakat, karya mereka berlatarbelakangkan daerah pedesaan dan rakyat, lebih banyak terdedah kepada bahan bacaan dari Indonesia, dan yang secara sedar, menjadikan sastera sebagai alat kedua dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.  Walaupun Samad bergaul dengan mereka dalam satu periode yang sama dan mempunyai latar belakang dan pendidikan yang berbeza,  namun Samad cuba menyamakan cita-cita sasteranya dengan mereka tetapi membezakan dirinya dari segi stail dan pencapaian.

Novel pertamanya, yang asalnya berjudul Gerhana  kemudian diterbitkan dengan judul Salina ialah sebuah novel yang tebal dan berjaya mengangkat martabat kesusasteraan Melayu ke tahap yang disifatkan oleh Profesor A.  Teeuw dan sesetengah sarjana sebagai bertaraf antarabangsa.  Novel yang hanya memenangi hadiah penghargaan dalam peraduan penulisan novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (1958) dan yang dihasilkan oleh Samad sewaktu beliau baru berusia 23 tahun ini, akhirnya menjadi sebuah karya yang menjadi garis pemisah antara karya-karya penulis lama dengan baru dan antara Samad dengan penulis-penulis 50-an.

Salina menceritakan kehidupan masyarakat terutama orang Melayu di Kampung Kambing, Singapura selepas Perang Dunia Kedua.  Ia menggambarkan kemiskinan, keruntuhan moral di kota, dan pergelutan untuk mempertahankan peribadi di tengah-tengah kebobrokan.  Ini bukanlah persoalan yang sama sekali asing dalam kesusasteraan Melayu, tetapi Samad telah memperlihatkan kebolehan seninya dengan melukiskan semua hal ini secara artistik melalui dialog-dialog dan tingkah laku watak-wataknya.  Manusia yang lahir dalam Salina ialah manusia yang natural bukannya yang menjelma sebagai boneka dengan sifat-sifat hitam putihnya.  Novel ini telah diadaptasi menjadi bentuk teater oleh dramatis Johan Jaaffar dan dipentaskan sempena Pesta Kesenian Kuala Lumpur (1986), dan kemudiannya di Singapura.

Seperti Salina, novelnya Sungai Mengalir Lesu juga menampilkan pengalaman langsung Samad dalam masyarakat yang menderita akibat perang.  Pemerintahan Jepun yang singkat di Singapura dan penderitaan masyarakat akibat perang, memberikan kesan yang cukup kuat dalam diri Samad yang pada masa itu masih kanak-kanak lagi.  Beliau mengutip kembali butir-butir pengalaman itu untuk menceritakan keadaan orang Melayu dan orang Indonesia yang hidup melarat dan menjadi buruh di Singapura.

Di samping novel, Samad juga memperlihatkan kekuatannya dalam penulisan puisi seperti yang terkumpul dalam kumpulan Liar di Api.  Beliau antara penulis  yang terawal melakukan eksperimen dalam sajak-sajak bebas.  Selepas itu, beberapa buah lagi kumpulan puisinya telah diterbitkan seperti Benih Harapan (1973), Daun Semalu Pucuk Paku (1975) dan Benih Semalu (1984).

Samad memberikan banyak waktu untuk menulis beberapa buah lagi novelnya seperti Di Hadapan Pulau. Langit Petang dan Daerah Zeni.  Sebuah buku tentang latar belakang pengalamannya menulis Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Langit Petang telah diterbitkan, berjudul Dari Salina ke Langit Petang. Ia merupakan hasil tulisan bercorak autobiografi, rakaman pengalaman Samad yang menceritakan bagaimana beliau lahir menjadi seorang pengarang dan proses penghasilan tiga buah novelnya yang penting itu.

Pencapaian dan sumbangan Samad Said dalam memperkaya dan meninggikan nilai kesusasteraan Melayu telah mendapat penghargaan pemerintah apabila pada 29 Mei 1976, bersama-sama beberapa pengarang lain, beliau diiktiraf sebagai Pejuang Sastera.  Tahun 1979, juga turut memberi erti kepada Samad, apabila beliau dilantik oleh Perdana Menteri sebagai salah seorang anggota panel Anugerah Sastera dan dalam tahun yang sama, beliau telah dipilih menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Awards).  Kemuncak pencapaian Samad sebagai sasterawan ialah apabila beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Negara 1985.  Dalam majlis penganugerahan itu, telah dipentaskan sedutan drama terbaru A. Samad Said berjudul Wira Bukit.  Dalam tahun 1993, A. Samad Said menerima Anugerah ASEAN         1993 (Kategori Sastera) daripada Negara Brunei Darulsalam.

Selain pengiktirafan dalam bidang sastera, A. Samad Said juga telah dianugerahkan darjah kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran `Datuk’ dalam tahun 1997 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka.



 

NUSAIBAH BINTI KA'AB - PERISAI RASULULLAH, KEMATIANNYA DISAMBUT MALAIKAT


 Rasulullah merupakan sosok yang sangat luar biasa wibawanya. Sehingga banyak sahabat-sahabat di zaman dahulu yang sangat menghormati Rasulullah. Dalam upaya mendakwahkan Islam, sungguh tidak terhitung berapa banyak kaum muslimin yang berkorban. Tidak hanya dari kaum lelaki, namun juga dari golongan wanita.

Salah satu tokoh yang ikut dalam perjuangan disamping Rasulullah, adalah Nusaibah Binti Ka’ab. Tokoh wanita yang dijuluki sebagai ‘Perisai Rasulullah’. yang dalam kematiannya, bahkan malaikat pun ikut menyambutnya. Lantas sebenarnya siapakan Nusaibah binti Ka’ab itu?

Nusaibah Binti Ka’ab, Salah Satu Perempuan yang Ikut Bai’at Aqobah ke 2.

Dalam sejarah, dikatakan bahwa Nusaibah binti kaab radiyallahu anha merupakan istri dari Ghazyah bin Amru Al Mazini An Najari. Ghazyah merupakan suami kedua dari Nusaibah binti Ka’ab setelah suaminya yang pertama Zaid bin Ashim Al Mazini An Najjari wafat. Dari suami pertamanya Nusaibah dikurniakan dua orang anak iaitu Abdullah bin Zaid dan Habib bin Zaid.

Nusaibah merupakan satu dari dua perempuan yang ikut dalam bai’at aqobah ke 2. Yang merupakan perjanjian yang dilakukan oleh Rasulullah terhadap 73 orang pria dan 2 orang wanita dari Yatsrib pada waktu tengah malam, yang mana mereka bersumpah setia kepada Rasulullah dalam melasanakan tiga perkara :

  • Tidak menyekutukan Allah SWT
  • Melaksanakan apa yang Allah perintahkan.
  • Meninggalkan apa yang Allah larang.

Diceritakan bahwa Nusaibah telah mengikuti banyak pertempuran disisi pasukan muslimin. Ghazyah, Abdullah dan Habib kala itu bertempur di garis depan, sedangkan Nusaibah lebih sering mengubati dan mengambilkan minuman untuk pasukan muslimin. Namun jangan salah sangka, Nusaibah juga pandai dalam bertempur melawan musuh-musuh Rasulullah.

Dikala ditengah perang Uhud, kaum muslimin hampir kalah. Ibnu Qumai’ah yang datang sebagai musuh hendak membunuh Rasulullah dengan pedangnya. Namun Nusaibah dengan gagah berani melakukan penjagaan kepada Rasulullah dan bertahan menggunakan pedang dan anak panah dan menjaga Rasulullah agar tidak terbunuh. Meskipun tahu bahawa dia tidak ada tandingannya dibanding Ibnu Qumai’ah, namun Nusaibah tetap menghalangi Ibnu Quma’ah agar tidak menyentuh Rasulullah.

Diceritakan bahwa setidaknya ada kurang lebih 13 luka di tubuh Nusaibah. Dan meskipun demikian, Nusaibah nyatanya masih hidup untuk terus berperang disamping pasukan muslimin. Atas pengorbanannya dalam perang tersebut dalam menjaga keselamatan Rasulullah, Rasulullah memuji Nusaibah dengan bersabda :

Kedudukan Nusaibah binti Ka’ab lebih baik daripada si fulan dan si fulan”

Rasulullah pun juga berkata kepada putra Nusaibah, Abdullah “Allah memberkahi kalian wahai ahlul bait. Kedudukan ibumu lebih baik dari fulan dan fulan. Dan kedudukan suami ibumu Ghaziyyah bin Amr lebih baik dari fulan dan fulan, semoga Allah merahmati kalian wahai ahlul bait”. 

Bahkan Rasulullah juga berdoa untuk keluarga Nusaibah,

“Ya Allah, jadikanlah mereka orang-orang yang akan menemaniku di surga”

Nusaibah dan keluarganya terus berjuang di sisi kaum muslimin bahkan sampai pada masa wafatnya Rasulullah. Itu adalah hari yang paling menyedihkan bagi seluruh umat muslimin. Hal ini kerana umat muslimin baru saja kehilangan seorang pemimpin bijaksana mereka. 

Itu merupakan satu dari sekian perang yang diperjuangkan Nusaibah. Entah sudah berapa banyak pengorbanan yang dilakukan Nusaibah binti Ka’ab dalam menegakkan agama Allah. Seorang wanita yang semangatnya melebihi 100 orang lelaki, seorang wanita yang pengorbanannya diakui oleh Rasulullah, dan kedudukanya lebih tinggi dari pasukan muslimin yang lain.

Beberapa tahun setelah perang Yamamah bertepatan pada tahun 13 Hijrah, Nusaibah meninggal dunia. Meninggalkan tinta-tinta perjuangan yang ditulis dalam lembar sejarah sebagai salah satu perempuan yang paling luar biasa dari kaum Anshar.

Dari cerita diatas, disebutkan bahwa betapa luar biasanya seorang Nusaibah binti Ka’ab. Perempuan yang dijuluki sebagai ‘sang perisai Rasulullah’. meninggalkan inti sari dari sebuah semangat kepada generasi-generasi setelahnya.

Semoga Nusaibah binti Ka’ab dan keluarganya diberi tempat yang baik di Jannah. Amin.

SAYYIDA AL-HURRA

 

Sayyida al-Hurra merupakan anak kepada kepada Moulay Ali Ibn Rashid, pemerintah di daerah Chefchaouen iaitu di kawasan Barat Laut, Maghribi (Morocco). Beliau telah dilahirkan pada tahun 1491 dalam keluarga bangsawan dan telah mendapat pendidikan daripada ilmuwan terbaik di Chefchaouen.
Sayyida Al-Hurra adalah nama panggilan yang diberikan kepada wanita ini yang membawa maksud, wanita bangsawan atau wanita yang mulia.
Sebahagian daripada pengkaji mengatakan bahawa nama asal beliau adalah Fatimah, dan setengah lagi berpendapat bahawa namanya Aisha, manakala Al-Hurra hanyalah nama panggilan buatnya. Namun, bukti daripada kajian yang terkemudian lebih menekankan bahawa Al-Hurra adalah nama asal beliau, yang kemudiannya ada disebutkan dalam perjanjian perkahwinan antara beliau dan Sultan Ahmed Al-Wattasi.
Manakala namanya yang muncul dalam manuskrip kajian daripada Eropah pula seperti ‘Cyte Alhorra’, ‘Sitalhorra’, ‘Citalforra’, ‘Citilforra’ dan lain-lain.
Banyak cerita-cerita yang tersebar menyebutkan bahawa selain menjadi seorang puteri dan kemudiannya ratu yang disegani, beliau juga adalah seorang ‘lanun’. Dikatakan beliau membentuk satu pakatan dengan kumpulan lanun dan menguasai barat Laut Mediteranian, dan sentiasa mensasarkan kapal-kapal dagang Portugis dan Sepanyol yang lalu di situ, ekoran jatuhnya kerajaan Islam Granada di Sepanyol.
Cerita seperti ini timbul dalam banyak tulisan sejarah dari Sepanyol dan juga Portugis, dan tidak banyak pula cerita yang ditulis tentang Sayyida dari catatan Arab.
Walaubagaimanapun, ahli sejarah dari Maghribi mempersoalkan perkara ini. Kata Abdallah Laroui:
“mereka terlalu berlebih-lebihan dalam menceritakan perihal hamba-hamba beragama Kristian di Maghribi serta mengangkat-angkat cerita berkenaan lanun di sana”
Apa yang perlu lebih diketahui adalah keperibadian dan kemampuannya dalam memerintah.
Sesetengah laporan yang mengatakan bahawa beliau berkahwin dengan penguasa Granada yang asal, Abu Hassan Al-Mandri yang jauh lebih tua daripadanya pula adalah tidak benar, kerana Abu Hassan meninggal pada tahun 1504 atau 1505 Masihi ketika Sayyida masih lagi di usia remaja.

Sayyida sebenarnya telah berkahwin dengan anak saudara kepada Abu Hassan iaitu Mohammed Al-Mandri, yang merupakan pembesar di daerah Tetouan sekitar tahun 1510. Perkahwinannya dengan Mohammed Al-Mandri dikatakan untuk mengukuhkan hubungan diplomatik anatara Chefchaouen dan Tetouan ketika itu/
Merujuk kepada buku Sejarah Titwan (Tarikh Titwan), penulisnya menyebutkan bahawa Sayyida al-Hurra memainkan peranan yang penting sepanjang pemerintahan suaminya dalam dua peringkat. Pertama, ketika suaminya masih hidup – pendapat Sayyida sering dirujuk dan didengari, sama juga ketika suaminya sedang keluar berperang, beliau akan menjadi pemangku kerajaan dan menguruskan pemerintaha.
Setelah suaminya meninggal sekitar tahun 1519 pula, beliau terus mengambil alih pemerintahan dan sering terlibat dengan rundingan dan hubungan diplomatik.
Pakar sejarah barat menggambarkan Sayyida Hurra ketika ini sebagai pemimpin yang sangat cekap, dan sangat ‘suka bergaduh’ dalam rundingan dengan pemimpin Ceuta yang telah dikuasai Portugis.
Sekitar tahun 1539, beliau akhirnya melibatkan menantunya, Moulay Ahmed al Hassan al Mandri Jr untuk sama-sama memerintah bersamanya. Pada tahun 1541, dia kemudiannya berkahwin dengan Sultan Maoulay Ahmed al-Wattassi.
Perkahwinan tersebut mendapat liputan yang meluas ketika itu dan mengundang rasa tidak senang Raja Phillip yang telah berkuasa di Sepanyol. Hal ini kerana, perkahwinan tersebut telah mengukuhkan lagi hubungan diplomatik antara Tetouan, Chefchaouen dengan Sultan di Fez.
Malah sesetengah sejarawan Eropah membandingkan perkahwinan tersebut dengan perkahwinan antara Raja Ferdinand dan Isabella, dua nama besar dalam sejarah yang akhirnya menguasai dan memerintah Sepanyol.
Selalunya apabila seseorang raja ingin berkahwin, maka rombongan pengantin wanita yang akan datang dan menghadap sultan, namun lain halnya dalam kisah perkahwinan kedua Sayyida Hurra ini. Sultan sendiri yang telah datang dengan rombongan yang ramai daripada Fez ke Tetouan, dan mengadakan majlis keraian di situ.
Namun, tujuan paling besar daripada perkahwinan ini dikatakan untuk mengukuhkan hubungan diplomatik sahaja apabila kedua-dua nya tinggal berasingan selepas itu. Sayyida masih memerintah di Toutuan manakala Sultan kembali ke Fez dan meneruskan pemerintahan di sana.

Walau bagaimanapun, keadaan semakin bergolak apabila Toutuan selepas itu dipencilkan oleh Portugis dengan menghentikan pertukaran dagangan, dalam masa yang sama pergolakan dalaman juga berlaku.
Sebahagian kerabatnya di Tetouan dan Fez semakin berpihak kepada Kerajaan Sa’di. Menantunya sendiri akhirnya merampas Tetouan dan menggulingkan Sayyida Al-Hurra. Beliau akhirnya berlindung di Chefchaouen dan meninggal di sana.

PENGARANG SASTERA - SHAHNON AHMAD

 

Shahnon Ahmad sebagai pengarang tidak payah diperkenalkan lagi dalam kesusasteraan Melayu. Beliau bukan sahaja terkenal kerana novelnya Ranjau Sepanjang Jalan dan Rentong, atau kerana kerap kali memenangi Hadiah Karya Sastera, atau kerana beliau seorang sarjana di Universiti Sains Malaysia, tetapi kerana beliau adalah seorang penulis berbakat, serius dan mempunyai falsafahnya sendiri. Shahnon bukan menulis hasil-hasil kesusasteraan hanya untuk bersastera semata-mata, tetapi beliau adalah seorang pencari yang sentiasa mencuba memperbaiki seninya dengan pelbagai gaya dan pendekatan, meneroka ke alam fikiran untuk memperkayakan lagi isi karangannya, dan sentiasa mempertimbangkan falsafahnya sebagai seorang penulis sehingga benar-benar mencapai kebenaran.

Shahnon dilahirkan pada 13 Januari 1933 di Banggul Derdap, Sik, Kedah Darul Aman. Beliau mula berkarya pada pertengahan tahun 1950-an, namun dalam masa 10 tahun, beliau telah muncul sebagai penulis yang mempunyai bakat besar. Beliau adalah seorang penulis yang begitu sensitif terhadap peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di dalam dan di luar masyarakat bangsanya. Beliau mempelopori sikap yang dinamakannya Malay Power apabila melihat betapa lemahnya orang Melayu bila keadaan politik, ekonomi, dan sosial menekan yang mengakibatkan tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969. Dan inilah salah satu sebab yang mendorong beliau meningkat daripada pemikiran membela orang yang tidak berupaya yang berhadapan dengan kekejaman dan kekuatan alam kepada pemikiran membela orang atau bangsanya apabila berhadapan dengan kekuatan manusia lainnya.

Pendidikan awal yang diterimanya ialah di sekolah Melayu di Sik dan lulus darjah V dalam tahun 1946. Kemudian beliau melanjutkan pelajarannya di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, hingga lulus Sijil Persekolahan. Beliau menjadi guru dan mengajar di Grammer English School, Kuala Terengganu pada tahun 1954. Dari tahun 1955 hingga tahun 1956, beliau bertugas sebagai Pegawai Tentera di Port Dickson, Negeri Sembilan. Satu kemalangan telah menyebabkan beliau berhenti daripada lapangan tentera dan bertugas semula sebagai guru dan mengajar bahasa Inggeris di Sekolah Melayu Gunung dan Sekolah Bukit Besar, Kedah dari tahun 1957 hingga tahun 1959.

Pada tahun 1960, Shahnon menjadi guru bahasa di Maktab Sultan Abdul Hamid hingga tahun 1963. Kemudian beliau berpindah ke Jenan, mengajar sastera di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim hinggalah ke tahun 1967.

Pada tahun 1968, beliau berangkat ke Canberra, Australia dan bertugas sebagai pegawai penyelidik di Australian National University (ANU). Beliau mengambil kesempatan itu untuk terus menuntut di ANU sehingga memperoleh ijazah Sarjana Muda pada tahun 1971. Sekembalinya ke tanah air, Shahnon menjadi Pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim dan tidak lama selepas itu, ditawarkan berkhidmat di Universiti Sains Malaysia sebagai pensyarah dalam tahun 1974. Di sinilah beliau memperoleh Sarjana Sastera pada tahun 1975. Shahnon kemudiannya dilantik menjadi Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan sejak awal tahun 1979. Mulai Jun 1980, Shahnon dilantik sebagai Profesor Sastera Universiti Sains Malaysia. Pada tahun 1982, Shahnon dilantik pula menjadi profesor penuh di universiti yang sama. Kemudian Shahnon dilantik menjadi Pengarah Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia.

Shahnon Ahmad dalam kesusasteraan Melayu moden merupakan tokoh penulis yang penting dan yang amat banyak diperkatakan. Karya awalnya berupa terjemahan tersiar dalam majalah Mastika dan selepas itu, terus bergiat dalam dunia penulisan terutama cerpen, novel, dan esei serta kritikan. Walaupun Shahnon telah meneroka hampir kesemua bidang penulisan, tetapi beliau mengaku bahawa menulis puisi dan drama dirasakannya amat canggung. Kekuatan beliau ternyata terletak dalam penulisan cerpen dan novel dan akhir-akhir ini pula dalam bidang esei dan kritikan.

Beliau mulai giat menulis dan mulai terkenal sejak tahun 1956 lagi iaitu dengan tulisannya yang berbentuk cerpen, esei, dan kritikan. Persoalannya yang dapat dilihat melalui cerpen-cerpennya pada peringkat awal ialah persoalan yang berunsur sinis dan seks. Cerita-cerita yang dikemukakan lebih banyak menyingkap penderitaan manusia desa dan kehidupan di kota-kota. Tidak lama kemudian Shahnon menjadi lebih terkenal sesudah menghasilkan novel pertamanya berjudul Rentong pada tahun 1965. Rentong merupakan novel Shahnon yang amat jelas menunjukkan bakatnya yang besar sebagai novelis. Sesudah menghasilkan novel keduanya berjudul Terdedah, Shahnon melahirkan pula Ranjau Sepanjang Jalan. Novel ini telah mendapat sambutan hangat daripada masyarakat pembaca serta para pelajar, dan telah dijadikan teks sastera tingkatan enam untuk beberapa tahun. Novel ini telah diangkat menjadi sebuah filem dalam tahun 1983.

Ranjau Sepanjang Jalan dan Rentong dapat dianggap sebagai kemuncak daripada kegiatan penulisan novel Shahnon Ahmad. Ranjau Sepanjang Jalan telah pun diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Adibah Amin dengan judul No Harvest But A Thorn. Panel The Sydney Morning Herald pada tahun 1973 telah menempatkan novel ini sebagai satu daripada 10 novel yang memikat hati untuk tahun 1972.

Shahnon menggemari karya beberapa orang penulis luar negeri, antaranya termasuklah karya-karya Pramoedya Ananta Toer dan Patrick White. Karya-karya Pram digemari kerana kekuatan bahasanya sementara karya Patrick White kerana kehidupan desa yang diutarakannya.

Konsep perjuangan Shahnon terlihat dalam kebanyakan tulisannya dan konsepnya ini pula pernah dilahirkannya dalam kata alu-aluannya pada sebuah antologi puisi GATRA, Kebangkitan, berbunyi: Kami adalah bangsa Melayu, dalam perjuangan menegakkan identiti melalui sastera.

Daripada riwayat hidup Shahnon, kita sekali gus dapat mengenal latar belakang novel-novel yang dihasilkannya. Melalui Rentong misalnya kita melihat bahawa Shahnon cuba menganalisis masyarakat desa yang amat memerlukan pembangunan. Shahnon Ahmad melahirkan simpatinya yang melimpah terhadap perjuangan kaum tani yang miskin di kampungnya Banggul Derdap. Terdapat kepadatan teknik dan isi yang baik dalam beberapa buah novelnya dan pembaca dapat merasakan keharuan daripada konflik-konflik yang dilalui oleh watak-watak seperti Dogol, Semaun, Pak Senik, Jeha, dan Lahuma.

Kekuatan Shahnon dalam karya-karyanya ialah kekuatan sensitiviti dan imaginasinya sebagai seniman yang berhasil menangkap segala konflik jiwa orang kampung. Dalam mengabdikan kehidupan desa yang menjadi sebahagian daripada kehidupannya, lukisan-lukisan alam dan suasana Banggul Derdap menjadi hidup dan bererti. Suatu keistimewaan yang kita dapati dan nyata daripada penyorotan Shahnon terhadap petani-petani miskin ialah bukan maksud dirinya meletakkan segala kesalahan kepada pemerintahan seperti yang sering dikemukakan oleh pengarang-pengarang ASAS 50 dalam waktu kegemilangan angkatan tersebut dulu. Beliau melihat orang kampung dengan segala kesederhanaan mereka untuk mencari rezeki yang halal, di samping menyerahkan dirinya bulan-bulat kepada Allah Azzawajalla. Segala musuh tanaman mereka datangnya daripada Allah dan kepada Allah jugalah mereka meminta perlindungan.

Dalam pada itu, Shahnon ada juga mengetengahkan tema-tema berat, ketuhanan seperti dalam Protes dan soal politik orang Melayu dalam Menteri dan Perdana. Apa yang ketara dalam setiap karyanya ialah penggunaan gaya bahasa dan teknik penulisan yang bersahaja. Beliau banyak menggunakan perbandingan-perbandingan yang asli, kata-kata loghat Kedah dan perulangan ayat supaya dapat meninggalkan kesan. Kata-kata itu dipilih demikian rupa hingga dapat menggambarkan suasana dan mood cerita dalam diri pembaca.

Pada tahun 1973, terbit sebuah lagi novel Shahnon berjudul Serengenge. Pihak Panel Hadiah Karya Sastera telah memilih novel ini sebagai novel terbaik untuk tahun 1973. Srengenge memperlihatkan suatu usaha mencari sintesis antara kepercayaan tradisi dengan ilmu psikologi moden. Selain itu, teknik pemindahan dan dengan ilmu psikologi moden. Selain itu, teknik pemindahan dan pertukaran sudut pandangan daripada satu watak kepada satu watak yang lain untuk melukiskan peristiwa-peristiwa yang berlaku secara imbas kembali merupakan suatu pembaharuan yang cuba dilakukan oleh Shahnon. Pada tahun 1985, lahir pula novel Shahnon yang terbaru berjudul Al-Shiqaq I.

Dalam bidang cerpen, beberapa buah karya Shahnon telah dipilih memenangi Hadiah Karya Sastera. Sekurang-kurangnya sebanyak tiga buah kumpulan cerpen persendirian beliau telah diterbitkan iaitu Anjing-anjing, Debu Mereh, dan Selesai Sudah. Di samping itu, cerpen Shahnon telah juga diterbitkan dalam beberapa antologi bersama.

Beliau telah beberapa kali memenangi hadiah RM100.00 untuk cerpen yang tersiar dalam Berita Harian dan Mastika dalam tahun-tahun 1960-an. Pada tahun 1974, Shahnon memenangi Hadiah Karya Sastera dalam bidang esei dan kritikan pula.

Pada tahun 1975, Shahnon telah dilantik menjadi salah seorang anggota Panel Hadiah Karya Sastera. Beliau telah dianugerahi gelaran `Pejuang Sastera’ oleh Perdana Menteri pada tahun 1976. Dalam tahun 1982, Shahnon telah dianugerahi pula Anugerah Sastera Negara daripada kerajaan dan mulai tahun 1983, Shahnon dilantik semula sebagai Panel Hakim Hadiah Karya Sastera. Seperti yang terlihat sehingga kini, Shahnon adalah penulis yang sukar ditandingi bakat dan kesungguhannya dalam berkarya. Beliau bukan sahaja menulis dalam banyak bidang malah berbicara tentang banyak hal dan sejak akhir-akhir ini, Shahnon mula berminat menukar pokok persoalan penulisannya daripada masalah cerita hidup masyarakat desa kepada hal-hal yang menyentuh keislaman dalam dunia kesusasteraan. Polemik Shahnon dengan Kassim Ahmad mengenai takrif sastera Islam disiarkan dalam majalah Dewan Sastera untuk beberapa keluaran pada tahun 1984.

Shahnon telah dianugerahi Darjah Kebesaran Datuk Setia Diraja Kedah yang membawa gelaran `Datuk’ daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dalam tahun 1980. Pada 11 September 1993, Shahnon Ahmad dianugerahi gelar Profesor Emeritus oleh Universiti Sains Malaysia.

SEJARAH NGERI BELANDA

  Cuba bayangkan, seorang presiden dibunuh dan dimakan oleh rakyatnya sendiri kerana kegagalan melindungi negara mereka. Tragedi itu terjadi...