Saturday 21 January 2023

PENGARANG SASTERA - SHAHNON AHMAD

 

Shahnon Ahmad sebagai pengarang tidak payah diperkenalkan lagi dalam kesusasteraan Melayu. Beliau bukan sahaja terkenal kerana novelnya Ranjau Sepanjang Jalan dan Rentong, atau kerana kerap kali memenangi Hadiah Karya Sastera, atau kerana beliau seorang sarjana di Universiti Sains Malaysia, tetapi kerana beliau adalah seorang penulis berbakat, serius dan mempunyai falsafahnya sendiri. Shahnon bukan menulis hasil-hasil kesusasteraan hanya untuk bersastera semata-mata, tetapi beliau adalah seorang pencari yang sentiasa mencuba memperbaiki seninya dengan pelbagai gaya dan pendekatan, meneroka ke alam fikiran untuk memperkayakan lagi isi karangannya, dan sentiasa mempertimbangkan falsafahnya sebagai seorang penulis sehingga benar-benar mencapai kebenaran.

Shahnon dilahirkan pada 13 Januari 1933 di Banggul Derdap, Sik, Kedah Darul Aman. Beliau mula berkarya pada pertengahan tahun 1950-an, namun dalam masa 10 tahun, beliau telah muncul sebagai penulis yang mempunyai bakat besar. Beliau adalah seorang penulis yang begitu sensitif terhadap peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di dalam dan di luar masyarakat bangsanya. Beliau mempelopori sikap yang dinamakannya Malay Power apabila melihat betapa lemahnya orang Melayu bila keadaan politik, ekonomi, dan sosial menekan yang mengakibatkan tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969. Dan inilah salah satu sebab yang mendorong beliau meningkat daripada pemikiran membela orang yang tidak berupaya yang berhadapan dengan kekejaman dan kekuatan alam kepada pemikiran membela orang atau bangsanya apabila berhadapan dengan kekuatan manusia lainnya.

Pendidikan awal yang diterimanya ialah di sekolah Melayu di Sik dan lulus darjah V dalam tahun 1946. Kemudian beliau melanjutkan pelajarannya di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, hingga lulus Sijil Persekolahan. Beliau menjadi guru dan mengajar di Grammer English School, Kuala Terengganu pada tahun 1954. Dari tahun 1955 hingga tahun 1956, beliau bertugas sebagai Pegawai Tentera di Port Dickson, Negeri Sembilan. Satu kemalangan telah menyebabkan beliau berhenti daripada lapangan tentera dan bertugas semula sebagai guru dan mengajar bahasa Inggeris di Sekolah Melayu Gunung dan Sekolah Bukit Besar, Kedah dari tahun 1957 hingga tahun 1959.

Pada tahun 1960, Shahnon menjadi guru bahasa di Maktab Sultan Abdul Hamid hingga tahun 1963. Kemudian beliau berpindah ke Jenan, mengajar sastera di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim hinggalah ke tahun 1967.

Pada tahun 1968, beliau berangkat ke Canberra, Australia dan bertugas sebagai pegawai penyelidik di Australian National University (ANU). Beliau mengambil kesempatan itu untuk terus menuntut di ANU sehingga memperoleh ijazah Sarjana Muda pada tahun 1971. Sekembalinya ke tanah air, Shahnon menjadi Pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim dan tidak lama selepas itu, ditawarkan berkhidmat di Universiti Sains Malaysia sebagai pensyarah dalam tahun 1974. Di sinilah beliau memperoleh Sarjana Sastera pada tahun 1975. Shahnon kemudiannya dilantik menjadi Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan sejak awal tahun 1979. Mulai Jun 1980, Shahnon dilantik sebagai Profesor Sastera Universiti Sains Malaysia. Pada tahun 1982, Shahnon dilantik pula menjadi profesor penuh di universiti yang sama. Kemudian Shahnon dilantik menjadi Pengarah Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia.

Shahnon Ahmad dalam kesusasteraan Melayu moden merupakan tokoh penulis yang penting dan yang amat banyak diperkatakan. Karya awalnya berupa terjemahan tersiar dalam majalah Mastika dan selepas itu, terus bergiat dalam dunia penulisan terutama cerpen, novel, dan esei serta kritikan. Walaupun Shahnon telah meneroka hampir kesemua bidang penulisan, tetapi beliau mengaku bahawa menulis puisi dan drama dirasakannya amat canggung. Kekuatan beliau ternyata terletak dalam penulisan cerpen dan novel dan akhir-akhir ini pula dalam bidang esei dan kritikan.

Beliau mulai giat menulis dan mulai terkenal sejak tahun 1956 lagi iaitu dengan tulisannya yang berbentuk cerpen, esei, dan kritikan. Persoalannya yang dapat dilihat melalui cerpen-cerpennya pada peringkat awal ialah persoalan yang berunsur sinis dan seks. Cerita-cerita yang dikemukakan lebih banyak menyingkap penderitaan manusia desa dan kehidupan di kota-kota. Tidak lama kemudian Shahnon menjadi lebih terkenal sesudah menghasilkan novel pertamanya berjudul Rentong pada tahun 1965. Rentong merupakan novel Shahnon yang amat jelas menunjukkan bakatnya yang besar sebagai novelis. Sesudah menghasilkan novel keduanya berjudul Terdedah, Shahnon melahirkan pula Ranjau Sepanjang Jalan. Novel ini telah mendapat sambutan hangat daripada masyarakat pembaca serta para pelajar, dan telah dijadikan teks sastera tingkatan enam untuk beberapa tahun. Novel ini telah diangkat menjadi sebuah filem dalam tahun 1983.

Ranjau Sepanjang Jalan dan Rentong dapat dianggap sebagai kemuncak daripada kegiatan penulisan novel Shahnon Ahmad. Ranjau Sepanjang Jalan telah pun diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Adibah Amin dengan judul No Harvest But A Thorn. Panel The Sydney Morning Herald pada tahun 1973 telah menempatkan novel ini sebagai satu daripada 10 novel yang memikat hati untuk tahun 1972.

Shahnon menggemari karya beberapa orang penulis luar negeri, antaranya termasuklah karya-karya Pramoedya Ananta Toer dan Patrick White. Karya-karya Pram digemari kerana kekuatan bahasanya sementara karya Patrick White kerana kehidupan desa yang diutarakannya.

Konsep perjuangan Shahnon terlihat dalam kebanyakan tulisannya dan konsepnya ini pula pernah dilahirkannya dalam kata alu-aluannya pada sebuah antologi puisi GATRA, Kebangkitan, berbunyi: Kami adalah bangsa Melayu, dalam perjuangan menegakkan identiti melalui sastera.

Daripada riwayat hidup Shahnon, kita sekali gus dapat mengenal latar belakang novel-novel yang dihasilkannya. Melalui Rentong misalnya kita melihat bahawa Shahnon cuba menganalisis masyarakat desa yang amat memerlukan pembangunan. Shahnon Ahmad melahirkan simpatinya yang melimpah terhadap perjuangan kaum tani yang miskin di kampungnya Banggul Derdap. Terdapat kepadatan teknik dan isi yang baik dalam beberapa buah novelnya dan pembaca dapat merasakan keharuan daripada konflik-konflik yang dilalui oleh watak-watak seperti Dogol, Semaun, Pak Senik, Jeha, dan Lahuma.

Kekuatan Shahnon dalam karya-karyanya ialah kekuatan sensitiviti dan imaginasinya sebagai seniman yang berhasil menangkap segala konflik jiwa orang kampung. Dalam mengabdikan kehidupan desa yang menjadi sebahagian daripada kehidupannya, lukisan-lukisan alam dan suasana Banggul Derdap menjadi hidup dan bererti. Suatu keistimewaan yang kita dapati dan nyata daripada penyorotan Shahnon terhadap petani-petani miskin ialah bukan maksud dirinya meletakkan segala kesalahan kepada pemerintahan seperti yang sering dikemukakan oleh pengarang-pengarang ASAS 50 dalam waktu kegemilangan angkatan tersebut dulu. Beliau melihat orang kampung dengan segala kesederhanaan mereka untuk mencari rezeki yang halal, di samping menyerahkan dirinya bulan-bulat kepada Allah Azzawajalla. Segala musuh tanaman mereka datangnya daripada Allah dan kepada Allah jugalah mereka meminta perlindungan.

Dalam pada itu, Shahnon ada juga mengetengahkan tema-tema berat, ketuhanan seperti dalam Protes dan soal politik orang Melayu dalam Menteri dan Perdana. Apa yang ketara dalam setiap karyanya ialah penggunaan gaya bahasa dan teknik penulisan yang bersahaja. Beliau banyak menggunakan perbandingan-perbandingan yang asli, kata-kata loghat Kedah dan perulangan ayat supaya dapat meninggalkan kesan. Kata-kata itu dipilih demikian rupa hingga dapat menggambarkan suasana dan mood cerita dalam diri pembaca.

Pada tahun 1973, terbit sebuah lagi novel Shahnon berjudul Serengenge. Pihak Panel Hadiah Karya Sastera telah memilih novel ini sebagai novel terbaik untuk tahun 1973. Srengenge memperlihatkan suatu usaha mencari sintesis antara kepercayaan tradisi dengan ilmu psikologi moden. Selain itu, teknik pemindahan dan dengan ilmu psikologi moden. Selain itu, teknik pemindahan dan pertukaran sudut pandangan daripada satu watak kepada satu watak yang lain untuk melukiskan peristiwa-peristiwa yang berlaku secara imbas kembali merupakan suatu pembaharuan yang cuba dilakukan oleh Shahnon. Pada tahun 1985, lahir pula novel Shahnon yang terbaru berjudul Al-Shiqaq I.

Dalam bidang cerpen, beberapa buah karya Shahnon telah dipilih memenangi Hadiah Karya Sastera. Sekurang-kurangnya sebanyak tiga buah kumpulan cerpen persendirian beliau telah diterbitkan iaitu Anjing-anjing, Debu Mereh, dan Selesai Sudah. Di samping itu, cerpen Shahnon telah juga diterbitkan dalam beberapa antologi bersama.

Beliau telah beberapa kali memenangi hadiah RM100.00 untuk cerpen yang tersiar dalam Berita Harian dan Mastika dalam tahun-tahun 1960-an. Pada tahun 1974, Shahnon memenangi Hadiah Karya Sastera dalam bidang esei dan kritikan pula.

Pada tahun 1975, Shahnon telah dilantik menjadi salah seorang anggota Panel Hadiah Karya Sastera. Beliau telah dianugerahi gelaran `Pejuang Sastera’ oleh Perdana Menteri pada tahun 1976. Dalam tahun 1982, Shahnon telah dianugerahi pula Anugerah Sastera Negara daripada kerajaan dan mulai tahun 1983, Shahnon dilantik semula sebagai Panel Hakim Hadiah Karya Sastera. Seperti yang terlihat sehingga kini, Shahnon adalah penulis yang sukar ditandingi bakat dan kesungguhannya dalam berkarya. Beliau bukan sahaja menulis dalam banyak bidang malah berbicara tentang banyak hal dan sejak akhir-akhir ini, Shahnon mula berminat menukar pokok persoalan penulisannya daripada masalah cerita hidup masyarakat desa kepada hal-hal yang menyentuh keislaman dalam dunia kesusasteraan. Polemik Shahnon dengan Kassim Ahmad mengenai takrif sastera Islam disiarkan dalam majalah Dewan Sastera untuk beberapa keluaran pada tahun 1984.

Shahnon telah dianugerahi Darjah Kebesaran Datuk Setia Diraja Kedah yang membawa gelaran `Datuk’ daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dalam tahun 1980. Pada 11 September 1993, Shahnon Ahmad dianugerahi gelar Profesor Emeritus oleh Universiti Sains Malaysia.

No comments:

Post a Comment

SEJARAH NGERI BELANDA

  Cuba bayangkan, seorang presiden dibunuh dan dimakan oleh rakyatnya sendiri kerana kegagalan melindungi negara mereka. Tragedi itu terjadi...