Saturday 21 January 2023

SAYYIDA AL-HURRA

 

Sayyida al-Hurra merupakan anak kepada kepada Moulay Ali Ibn Rashid, pemerintah di daerah Chefchaouen iaitu di kawasan Barat Laut, Maghribi (Morocco). Beliau telah dilahirkan pada tahun 1491 dalam keluarga bangsawan dan telah mendapat pendidikan daripada ilmuwan terbaik di Chefchaouen.
Sayyida Al-Hurra adalah nama panggilan yang diberikan kepada wanita ini yang membawa maksud, wanita bangsawan atau wanita yang mulia.
Sebahagian daripada pengkaji mengatakan bahawa nama asal beliau adalah Fatimah, dan setengah lagi berpendapat bahawa namanya Aisha, manakala Al-Hurra hanyalah nama panggilan buatnya. Namun, bukti daripada kajian yang terkemudian lebih menekankan bahawa Al-Hurra adalah nama asal beliau, yang kemudiannya ada disebutkan dalam perjanjian perkahwinan antara beliau dan Sultan Ahmed Al-Wattasi.
Manakala namanya yang muncul dalam manuskrip kajian daripada Eropah pula seperti ‘Cyte Alhorra’, ‘Sitalhorra’, ‘Citalforra’, ‘Citilforra’ dan lain-lain.
Banyak cerita-cerita yang tersebar menyebutkan bahawa selain menjadi seorang puteri dan kemudiannya ratu yang disegani, beliau juga adalah seorang ‘lanun’. Dikatakan beliau membentuk satu pakatan dengan kumpulan lanun dan menguasai barat Laut Mediteranian, dan sentiasa mensasarkan kapal-kapal dagang Portugis dan Sepanyol yang lalu di situ, ekoran jatuhnya kerajaan Islam Granada di Sepanyol.
Cerita seperti ini timbul dalam banyak tulisan sejarah dari Sepanyol dan juga Portugis, dan tidak banyak pula cerita yang ditulis tentang Sayyida dari catatan Arab.
Walaubagaimanapun, ahli sejarah dari Maghribi mempersoalkan perkara ini. Kata Abdallah Laroui:
“mereka terlalu berlebih-lebihan dalam menceritakan perihal hamba-hamba beragama Kristian di Maghribi serta mengangkat-angkat cerita berkenaan lanun di sana”
Apa yang perlu lebih diketahui adalah keperibadian dan kemampuannya dalam memerintah.
Sesetengah laporan yang mengatakan bahawa beliau berkahwin dengan penguasa Granada yang asal, Abu Hassan Al-Mandri yang jauh lebih tua daripadanya pula adalah tidak benar, kerana Abu Hassan meninggal pada tahun 1504 atau 1505 Masihi ketika Sayyida masih lagi di usia remaja.

Sayyida sebenarnya telah berkahwin dengan anak saudara kepada Abu Hassan iaitu Mohammed Al-Mandri, yang merupakan pembesar di daerah Tetouan sekitar tahun 1510. Perkahwinannya dengan Mohammed Al-Mandri dikatakan untuk mengukuhkan hubungan diplomatik anatara Chefchaouen dan Tetouan ketika itu/
Merujuk kepada buku Sejarah Titwan (Tarikh Titwan), penulisnya menyebutkan bahawa Sayyida al-Hurra memainkan peranan yang penting sepanjang pemerintahan suaminya dalam dua peringkat. Pertama, ketika suaminya masih hidup – pendapat Sayyida sering dirujuk dan didengari, sama juga ketika suaminya sedang keluar berperang, beliau akan menjadi pemangku kerajaan dan menguruskan pemerintaha.
Setelah suaminya meninggal sekitar tahun 1519 pula, beliau terus mengambil alih pemerintahan dan sering terlibat dengan rundingan dan hubungan diplomatik.
Pakar sejarah barat menggambarkan Sayyida Hurra ketika ini sebagai pemimpin yang sangat cekap, dan sangat ‘suka bergaduh’ dalam rundingan dengan pemimpin Ceuta yang telah dikuasai Portugis.
Sekitar tahun 1539, beliau akhirnya melibatkan menantunya, Moulay Ahmed al Hassan al Mandri Jr untuk sama-sama memerintah bersamanya. Pada tahun 1541, dia kemudiannya berkahwin dengan Sultan Maoulay Ahmed al-Wattassi.
Perkahwinan tersebut mendapat liputan yang meluas ketika itu dan mengundang rasa tidak senang Raja Phillip yang telah berkuasa di Sepanyol. Hal ini kerana, perkahwinan tersebut telah mengukuhkan lagi hubungan diplomatik antara Tetouan, Chefchaouen dengan Sultan di Fez.
Malah sesetengah sejarawan Eropah membandingkan perkahwinan tersebut dengan perkahwinan antara Raja Ferdinand dan Isabella, dua nama besar dalam sejarah yang akhirnya menguasai dan memerintah Sepanyol.
Selalunya apabila seseorang raja ingin berkahwin, maka rombongan pengantin wanita yang akan datang dan menghadap sultan, namun lain halnya dalam kisah perkahwinan kedua Sayyida Hurra ini. Sultan sendiri yang telah datang dengan rombongan yang ramai daripada Fez ke Tetouan, dan mengadakan majlis keraian di situ.
Namun, tujuan paling besar daripada perkahwinan ini dikatakan untuk mengukuhkan hubungan diplomatik sahaja apabila kedua-dua nya tinggal berasingan selepas itu. Sayyida masih memerintah di Toutuan manakala Sultan kembali ke Fez dan meneruskan pemerintahan di sana.

Walau bagaimanapun, keadaan semakin bergolak apabila Toutuan selepas itu dipencilkan oleh Portugis dengan menghentikan pertukaran dagangan, dalam masa yang sama pergolakan dalaman juga berlaku.
Sebahagian kerabatnya di Tetouan dan Fez semakin berpihak kepada Kerajaan Sa’di. Menantunya sendiri akhirnya merampas Tetouan dan menggulingkan Sayyida Al-Hurra. Beliau akhirnya berlindung di Chefchaouen dan meninggal di sana.

No comments:

Post a Comment

SEJARAH NGERI BELANDA

  Cuba bayangkan, seorang presiden dibunuh dan dimakan oleh rakyatnya sendiri kerana kegagalan melindungi negara mereka. Tragedi itu terjadi...