Wednesday 25 January 2023

BUKU SASTERA- SUNGAI MENGALIR LESU (A. SAMAD SAID)

 

Berdasarkan pengalaman nyata dari Singapura pada zaman perang pendudukan Jepun lahirlah sebuah novel realisme sosial yang merakamkan nasib sekelompok manusia yang diberi judul Sungai Mengalir Lesu. Novel ini merupakan karya pengarang besar sasterawan A Samad Said (mesra dipanggil Pak Samad). Sungai Mengalir Lesu, merupakan novel kedua Pak Samad. Novel ini lahir selepas karya sulungnya,  Salina (1961). Seiringan dengan tajuk, dari latar jambatan dan sungai di kota Singa ini terbentang sebuah kehidupan manusia disekitar kawasan itu.  Sungai Mengalir Lesu setebal 153 halaman padat dengan watak-watak berbilang bangsa dan agama, berbeza usia, gender dan tempat. Tetapi semua perbezaan itu dipertemukan pengarang dalam novel ini menerusi jalinan persamaan nasib, iaitu korban peperangan!

Justeru itu, jambatan hijau dan sungai menjadi elemen penting yang menghubungankan watak-watak dalam novel ini. Permasalahan yang diketengahkan pengarang ternyata memberi impak yang berbeza dengan novel lain pada waktu itu. Namun begitu, rasa kemanusiaan itu tetap sama. Pengarang menjelaskan bahawa perang mengakibatkan masalah bekalan makanan dan kebuluran. Dalam keadaan yang tegang dang terdesak pada waktu itu, sungai adalah amat penting dan menjadi sumber rezeki.

Penciptaan novel Sungai Mengalir Lesu ini terhasil dengan gabungan sensitiviti dan kreativiti A. Samad Said. Idea-idea beserta pengalaman hidupnya yang lampau semasa tinggal di Singapura banyak menjadi inspirasi untuk menyusun jalan cerita ini.

          Tidak seperti novelnya yang sebelum ini, Salina. Kali ini A. Samad Said membuat kelainan sedikit dari segi ketebalan dan juga skop manusia yang terlibat. Jika dalam novel Salina, skop manusia yang ditampilkan adalah individu. Dalam Sungai Mengalir Lesu, isu yang lebih luas dan melibatkan keluarga demi keluarga, kisah sebuah kampung, sebatang sungai dan sekumpulan manusia dalam suatu era yang mengerikan. Dalam novelnya kali ini, A. Samad Said merakamkan satu peristiwa yang besar dan luas dalam suatu ruangan terbatas.

Sebagai seorang yang sememangnya membesar semasa zaman penjajahan, pastinya tidak menjadi masalah untuk beliau menggambarkan keadaan pada ketika itu. Isu peperangan yang diangkat dalam novel ini sesuai dengan pengalaman peribadinya yang pernah melihat bagaimana British dan Jepun menakluk Tanah Melayu.

Novel ini bermula sewaktu penghujung pendudukan Jepun di Singapura, semasa perang Pasifik dan kemaraan Tentera Bersekutu di Asia. Sepanjang cerita ini, pembaca akan dapat merasakan perasaan kegugupan akibat bom-bom yang meletup merata-rata tempat.

A. Samad Said melihat penciptaan novel seperti Sungai Mengalir Lesu cukup penting sekarang ini. Terutamanya dalam keadaan masyarakat dipisah-pisah, diasingkan, terbiar bergelap, tanpa sedar, terkapai-kapai dan sedang meniti kekaburan masa depan.

Gaya penulisan A. Samad Said sememangnya berbentuk balada dan naratif. Jika isu pelacuran dan kawasan setinggan yang terdapat dalam mana-mana karya beliau mempunyai similar dengan novel Salina, isu zaman penjajahan di Singapura pula juga mempunyai similar dengan novel Di Hadapan Pulau.

No comments:

Post a Comment

SEJARAH NGERI BELANDA

  Cuba bayangkan, seorang presiden dibunuh dan dimakan oleh rakyatnya sendiri kerana kegagalan melindungi negara mereka. Tragedi itu terjadi...