Wednesday 25 January 2023

PENGARANG SASTERA - SITI ZAINON ISMAIL

 

Siti Zainon Ismail dilahirkan di Gombak pada 18 Disember 1949, penyair tanah air yang mempunyai riwayat yang panjang dalam bidang penulisan seni sastera, budaya dan akademik. Beliau merupakan lulusan Sekolah Menengah Aminuddin Baki (1964-1968). Di samping meminati penulisan, Siti Zainon Ismail berbakat sebagai pelukis dan pernah dididik oleh Idris Salam dan Naz Achnas. Oleh sebab cita-citanya membumbung tinggi, dalam usia 20 tahun, selepas Sijil Tinggi Pelajaran, beliau meneruskan pengajiannya di Yogyakarta, mengambil jurusan Seni Lukis di Akademi Seni Rupa Indonesia (ASRI). Beliau pernah berdampingan dengan pelukis terkenal Indonesia seperti Affandi dan lain-lain.

Siti Zainol Ismail mengarifi ABC seni lakon, seni tari dan seni lukis. Pedagogi dan filsafat seni juga ditekuni. Apabila beliau kembali ke tanah air, beliau meneruskan tingkat Sarjana Sastera (pengkhususan Reka Bentuk Tradisional Melayu) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan seterusnya Ijazah Doktor Falsafahnya (Busana Melayu) di Universiti Malaya (UM) melalui asuhan Profesor Mohamad Taib Osman dan Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.

Pada tahun 1976, Siti Zainon Ismail menjadi tutor di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM. Beliau menjadi pensyarah pada tahun 1980-1992 di universiti yang sama. Kemudian beliau diangkat menjadi Profesor Madya pada tahun 1995-1996. Beliau dilantik sebagai Felow Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM. Siti Zainon Ismail seterusnya dilantik sebagai Pengarah Unit Kebudayaan Melayu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UKM (1996-1999). Dilantik sebagai Profesor Kebudayaan Melayu, Sejarah Seni dan Ketamadunan  Melayu, Pusat Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM pada tahun 2003-2004. Pada tahun 2006, Siti Zainon Ismail dilantik sebagai Profesor Luar Biasa di Universitas Jabal Ghafur, Aceh Indonesia. Pada tahun 2007-2008 beliau dilantik sebagai Sarjana Tamu di ATMA. Pada tahun 2009-2010, beliau menjadi Ahli Lembaga Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor. Pada 2010-2014 menjadi Pensyarah Bebas Warisan Budaya dan Estetika. Pada tahun 2014-2016 beliau menjadi Profesor Sejarah dan Estetika Seni dan Penyelaras Kursus Teras di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dengan kelulusan dan pengalaman yang luas itu, garapan seninya melalui puisi dan cerita pendek digarap secara berestetika. Jika puisinya bernada tinggi bagi membela rakyat yang hina dina, dibawakannya dalam nada yang bukan propaganda. Siti Zainon Ismail memenangi Hadiah Karya Sastera 1976 untuk puisinya “Romansa Petani di Gunung”.

Pembelaannya terhadap masyarakat marhaenbukanlah secara pretense. Bapanya, Ismail bertahun-tahun bekerja sebagai buruh kereta api yang membakar dan menempa besi menjadi alat bagi bola-bola besi dan roda kereta api di bengkel kereta api Sentul. Dia menghayatinya dalam “Tukang Besi di Bengkel Keretapi”.

Sensitiviti Siti Zainon Ismail terhadap erti kehidupan dan maruah diri rakyat kecil mengangumkan. Namun sebagai sasterawan beliau terus mencari makna diri dan peribadinya sebagai penyair. Beliau mencari pengucapannya yang tidak lagi meniru penyair besar sebelumnya yang terbayang dalam kreativitinya. Apalagi beliau sudah maklum akan erti seni audio-visual yang dipelajarinya di ASRI. Seni audio-visual yang diperkasakan dan dikuasai nya bertahun-tahun di ASRI dimanfaatkan sepenuhnya. Beliau mencari makna Siti Zainon Ismail dalam keseniannya, seni puisi dan prosa serta seni lukisnya.

Selain memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia untuk puisinya, Siti Zainon Ismail sudah dimartabatkan sebagai penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) dari Thailand pada tahun 1989. Beliau giat membaca puisi dan membentangkan kertas kerja pada peringkat Negara dan mancanegara. Pendapatnya didengar, kuliahnya mendapat perhatian para mahasiswa. Bidangnya selain persuratan Melayu, juga tentang hal ehwal seni budaya dan busana Melayu di Nusantara. Beliau pernah dilantik sebagai Profesor Luar Biasa di Universitas Jabal Ghafur, Aceh. Beliau juga pernah melakukan perjalanan seni marathon di Malaysia dan di Indonesia dengan mengadakan pameran lukisan dan bicara karya. Ketika ziarah seninya, beliau sempat bertemu dengan Presiden Habibie, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan kalangan sasterawan Indonesia berbobot seperti A. Hasjmy, Moechtar Lubis, Goenawan Mohamad, Taufiq Ismail, Ajip Rosidi, N.H. Dini dan lain-lain.

Lihatlah sumbangannya yang ilmiah, kreatif dan nonkretif. Perjalanan mengengsong langit dan bumi Tuhan dalam merembuk ilmu dan memintal keyakinan diri, rupa-rupanya beliaulah serikandi Melayu, anak Malaysia yang telah mengukir nama utuh di persada bumi Allah sebagai khalifah yang mengenal dirinya. Apa-apa yang ada dalam diri dipersembahkan kembali kepada anak watan dan dunia kemanusiaan. Padi yang kuan berisi, kian merunduk. Beliaulah butiran mutiara dalam perut tiram tenggelam di samudera dalam, kini mengerlap dengan cahanya. Beliaulah butiran Sasterawan Negara Ke 14 yang menyosong dan tak diendahkan wajahnya sebelum ini. Namun Kun Fa Yakun sudah menampilkan Kun-Nya. Marilah kita meraikan kemenangannya atas 99 nama dan sifat Allah yang indah.

No comments:

Post a Comment

SEJARAH NGERI BELANDA

  Cuba bayangkan, seorang presiden dibunuh dan dimakan oleh rakyatnya sendiri kerana kegagalan melindungi negara mereka. Tragedi itu terjadi...