Thursday 26 January 2023

SEJARAH NGERI BELANDA

 

Cuba bayangkan, seorang presiden dibunuh dan dimakan oleh rakyatnya sendiri kerana kegagalan melindungi negara mereka. Tragedi itu terjadi di negara Eropah iaitu Belanda. Pada abad 17 antara 1575 hingga 1672, Belanda merupakan negara yang kaya dan mewah serta dikenali sebagai zaman keemasan. 

Seorang lelaki, Johan de Witt seorang yang kaya dan mendapat pendidikan sempurna. Ayahnya ialah ahli politik, kerana itu dia dapat mencipta nama dalam bidang politik pada usia muda.

Ketika Johan menamatkan pelajarannya, berlaku kemelut politik sehingga dia melibatkan diri sebagai pemimpin dan ahli politik. Oleh itu, dia dipilih sebagai counsellor pensionary. Setara jawatan Perdana Menteri.

Pembentukan ‘Triple Alliance’ pada 1668 ialah pakatan diplomatik antara Sweden, Republik Belanda dan England untuk menentang Perancis. Ketika itu, Perancis diperintah oleh Raja Louis XIV.


Pada 1672, Raja Louis melancarkan perang ke atas Spanish Netherlands. Kesan peperangan itu menyebabkan orang ramai terkorban. Kejadian itu merupakan titik terakhir kepimpinan Johan. Rakyat Belanda beralih kepada William III sebagai pemimpin dan menuduh Johan sebagai pengkhianat.

Cornelis, abang kepada Johan dipenjara atas dakwaan palsu bahawa dia merancang membunuh William III. Ketika Johan mahu melawat abangnya di penjara, dia diserang oleh orang ramai dan dibunuh pada 20 Ogos 1672.

Kedua-dua beradik ini digantung di luar penjara. Mayat mereka dipotong dan disiat-siat serta dicacatkan. Selain itu, bahagian badan mereka dibawa pulang untuk dimasak dan dimakan.

“Kami benci dia, maka kami makan dia,” pengakuan daripada orang ramai kerana kebencian kepada Johan de WItt

Wednesday 25 January 2023

WARISAN DAN BUDAYA- SEJARAH HARI RAYA

 

Tahukah anda yang sebenarnya hari raya Melayu mempunyai kaitan dengan persediaan untuk peperangan pada zaman dahulu?

Apabila berakhirnya bulan Ramadan, Syawal akan disambut dengan Takbir Raya sebelum solat sunat di pagi hari, bukan?

Jika anda hendak tahu, takbir ini sebenarnya adalah takbir perang.

Dalam Alam Melayu, Takbir Raya ini dikatakan sebagai Takbir Besar dan takbir ini merujuk kepada takbir perang.

Takbir besar ini terbahagi kepada dua iaitu takbir sebelum perang dan takbir selepas perang.

Dikatakan, takbir sebelum perang bunyinya rancak dan kasar. Manakala, takbir selepas perang pula bunyinya mendayu-dayu dan sedih.

Apa yang kita dengar tatkala di pagi raya adalah takbir selepas perang dimana ia sudah kekal sejak tahun 1889 lagi.

Dalam takbir ada menyebut ‘Memuliakan tenteraNya dalam mengalahkan tentera al-Ahzab’. Sebenarnya, takbir ini dilaungkan oleh tentera laksamana Melayu semasa menentang penjajah.

Lebih menarik lagi, bermain meriam ketika raya hanya bangsa Melayu sahaja yang melakukanya. 

Bukan itu saja, hari raya sebenarnya adalah hari dimana bangsa Melayu berlatih membuat persediaan menghadapi peperangan yang dilakukan setiap tahun.

Bagaimana orang dulu-dulu menyambut hari raya ini? 

1. Perarakan Malam Hari Raya

Perarakan malam raya pada zaman dahulu selalunya dimulakan dengan kompang Arak-Arakan dan disambung dengan Gendang Perang. 

Pada ketika itu, mereka yang menyertai perarakan melambangkan sokongan dan taat setia kepada pemerintah setempat.

Perarakan ini akan diketuai oleh Penghulu Pawai. Pawai adalah orang yang membawa alat kebesaran dan kelengkapan istana jika tiada wakil istana yang hadir.

2. Takbir Hari Raya
Dahulu, setelah selesai solat di masjid, takbir akan disambung pada setiap rumah tokoh pahlawan, penghulu dan di rumah mereka yang dimuliakan.

Hal ini masih lagi ada diamalkan di sesetengah kampung pada zaman sekarang. Disamping itu, takbir hari raya juga merupakan satu simbol berperang dengan hawa nafsu.

3. Bermain Meriam
Walaupun sekarang sudah jarang dilakukan atas sebab keselamatan, dahulu permainan meriam buluh dilakukan dikawasan perkampungan selepas habis solat di masjid.

Peluru yang digunakan untuk meriam buluh itu dibuat daripada bola buatan atau tempurung kering yang diwarnakan. 

Pemenang permainan meriam ini adalah kepada empunya peluru yang diletupkan meriam buluh yang paling jauh.

Dengan bermain meriam buluh, dikatakan secara tidak langsung telah melatih pemain meriam untuk membina meriam yang bagus untuk berperang.

4. Makanan Perang 
Sebenarnya, rendang Tok, serunding, dan dodol merupakan makanan perang kerana ianya adalah makanan yang tahan lama dan susah basi. Menarik bukan?

Dahulu, makanan seperti ini dicipta oleh Bendari, iaitu tukang masak tentera laut di kapal supaya mereka tidak terputus bekalan makanan.

Bukan itu saja, makanan ini juga penting untuk terus dipelajari agar orang Melayu tidak risau jika punca makanan disekat musuh ketika perang.

5. Persembahan Silat
Persembahan seni perang ini juga dilakukan selepas solat di masjid. Difahamkan, persembahan silat dijadikan permainan agar disambut dengan gembira.

Persembahan silat ini juga mempunyai persamaan dengan orang Sudan dahulu kala di hadapan nabi Muhammad S.A.W.







WARISAN DAN BUDAYA- BAJU KURUNG DAN BAJU MELAYU

 

Menurut sejarawan, baju kurung telah diperkenalkan sejak alam Melayu lagi dan didapati mempunyai pengaruh daripada pedagang Islam dan India.

Hal ini kerana potongan leher yang berbentuk Tunik merupakan bentuk leher yang pada asalnya digayakan oleh orang Arab terdahulu.

Kemudian, baju kurung telah diperkenalkan secara meluas dan dikuatkuasakan oleh Sultan Muhammad Syah iaitu sultan Melaka. 

Pada 700 tahun dahulu, baju melayu sebenarnya turut digelar sebagai baju kurung. Selain itu, pakaian ini mempunyai rekaan baju yang agak singkat dan ketat.
Sejurus itu, busana tradisional ini telah dimodenkan oleh sultan Johor dan inilah busana yang digunakan sehingga hari ini. 

Bagindalah yang memperkenalkan Baju Melayu Teluk Belanga, dimana pakaian ini mempunyai jahitan kemas di kolar bulat dan satu butir butang.

Begitu juga dengan baju kurung, busana ini merupakan pakaian wanita yang sopan dan dipakai ketika menghadiri majlis dan adat.

Baju kurung tradisional mempunyai beberapa aspek yang berbeza dengan ciri-ciri kurung moden.

Busana ini berpesak, berkekek, berleher bulat dan labuh sehingga di bawah paras lutut serta dikemaskan dengan jahitan tulang belut.
Selain itu, baju melayu juga telah mengalami beberapa perubahan. Contohnya, Baju Melayu Cekak Musang yang diperkenalkan oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar.

Baju melayu ini mempunyai potongan kolar menegak dan disertakan dengan lima butir butang.

Rekaan baju melayu dikatakan mempunyai maksud tersirat yang berkaitan dengan agama Islam. 

Sejarawan Azah Aziz mengatakan lima butir butang pada cekak musang melambangkan lima Rukun Islam.

Disamping itu, enam pesak di sisi baju pula merupakan simbolik bagi enam Rukun Iman, tiga buah kocek baju pula mewakili tiga tuntutan dalam Islam iaitu Islam, Iman dan Ihsan.

WARISAN DAN BUDAYA - TARIAN ULEK MAYANG

 

Ulek Mayang berasal dari Terengganu, satu tarian yang terkenal kerana kaitannya dengan alam mistik. Ulek Mayang di katakan bermula ratusan tahun dahulu. Ia sebenarnya sebuah mentera yang di nyanyikan untuk menghalau roh laut yang jahat. Lagenda menyatakan sekumpulan nelayan telah keluar ke laut. Di tengah laut, tiba-tiba sebuah ribut yang kuat memukul perahu mereka lalu mereka tercampak ke laut. Dalam keadaan yang cemas, laut yang masih bergelora, mereka menyerah sahaja nasib mereka.

Selepas reda laut, kesemua nelayan di hanyut ke pantai. Seorang demi seorang terjaga. Hanya seorang sahaja yang tak terjaga. Mereka percaya bahawa jasadnya ada d sini tapi jiwanya terperangkap di alam lain. Mereka meminta bantuan bomoh untuk mengembalikan kawan mereka.  Bomoh tersebut membaca mantera dan apabila diseru dia mendapati nelayan itu dipukau oleh Semangat Laut.

Seorang puteri bunian ingin menduga kesemua nelayan tapi hanya seorang yang tertawan. Nelayan itu terperangkap dan merayau-rayau di alam bunian. Bomoh itu cuba mengembalikan nelayan itu ke dunia nyata tetapi di halang oleh puteri bunian. Pertarungan menjadi senget apabila seorang demi seorang adik beradik puteri bunian (hingga 6 orang) datang membantunya.

Akhirnya Puteri Sulung muncul, puter ke-7, muncul. Paling cantik, bijak dan kuat antara mereka. Bomoh itu mengambil kesempatan dengan merayu kepada Puteri ke-7 agar dipulangkan semangat nelayan itu. Menyedari kenakalan adik-beradiknya, Puteri sulung memerintahkan pertarungan itu dihentikan.

“aku tahu asal usul mu, biarkan yang laut pulang ke laut, yang darat pulang ke darat”. – kata Puteri sulung. Tanda terima kasih, bomoh itu menyerahkan nasi berwarna kepada puteri-puteri bunian. Nelayan itu sedar tidak lama kemudian.

Dahulu, lagu Ulek Mayang akan disertakan bersama tarian. Ritual ini selalunya dilakukan di kawasan tepi pantai yang digunakan sebagai kaedah untuk merawat penyakit seseorang. Biasanya penyakit-penyakit mistik seperti kerasukan, tidak sedar diri dan lain-lain.

Tarian  ini  ditarikan  secara  beramai-ramai  antara  10  hingga  15 orang  dalam  bentuk  bulatan  untuk  memuja  Tuan Puteri Tujuh  beradik. Persembahan  ulik  mayang  ini  dimainkan  dengan  menggunakan  Mayang  Pinang. Persembahan  ini  dimainkan  beramai-ramai dengan  membuat  bulatan  dan  pemegang  duduk  di  tengah-tengah  dan  tidak  ada  muzik  yang  mengiringi  persembahan  ini. Mayang yang  digunakan  dalam  persembahan  ini  diasap  kemenyan  dan  disapu  minyak  kelapa  terlebih  dahulu. Sebelum persembahan  dibacakan  doa  dan  bangkitan  dilakukan  untuk  memohon  perlindungan  agar  orang yang  mengambil  bahagian  tidak  ditimpa  apa-apa  kemalangan. 

Namun zaman sudah berubah, tarian dan lagu Ulek Mayang kini dijadikan sebagai persembahan budaya ketika majlis-majlis tertentu.

LOKASI YANG DIKUNJUNGI - LANGKAWI

 

Pulau Langkawi ialah pulau pelancongan paling popular di Malaysia. Ia adalah salah satu daerah dalam negeri Kedah. Pelancong yang ingin melawat pulau ini boleh menaiki kapal terbang atau feri dari Jeti Kuala Kedah, Jeti Kuala Perlis atau Jeti Penang. Pulau ini terkenal dengan aktiviti membeli-belah. Ia telah di isytihar sebagai pulau bebas cukai pada tahun 1987.

Keistimewaan Pulau Langkawi ialah kerana adanya beberapa tarikan alam semulajadi yang unik. Antara destinasi pelancongan yang popular ialah Kilim Geoforest Park, Pulau Dayang Bunting, pantai Chenang dan air terjun Telaga Tujuh. Selain itu, pelancong boleh melihat pemandangan seluruh Pulau Langkawi dari puncak Gunung Mat Chinchang dengan menaiki kereta kabel.

Selain tarikan alam semulajadi, banyak usaha telah dilakukan bagi menarik kehadiran pelancong. Berbagai aktiviti diatur saban tahun seperti LIMA, Tour de Langkawi, Iron Man Malaysia Langkawi dan sebagainya. Berbagai tempat menarik dibangunkan seperti Underwater World, Laman Padi, Taman Buaya dan lain-lain.

TEMPAT YANG MENARIK

1. Kereta Kabel Langkawi - SkyCab Panorama Langkawi

Kereta Kabel Langkawi atau lebih dikenali sebagai Langkawi Cable Car ialah salah satu tarikan pelancongan utama di Pulau Langkawi. Mula beroperasi pada 25 Februari 2005, ia sering menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negeri.

Apa yang menarik tentang Kereta Kabel Langkawi adalah ia mempunyai laluan yang paling curam di dunia. Ia juga merupakan pengangkutan utama untuk ke puncak Gunung Mat Chinchang (Machincang) dimana pengunjung dapat melihat keindahan alam semulajadi, pemandangan menarik Langkawi dan pulau-pulau diperairannya.

Kereta Kabel Langkawi terletak di Oriental Village iaitu di kaki Gunung Mat Chinchang. Pengunjung boleh kesini dengan bas, van atau kereta sewa pandu sendiri. Jarak dari pekan Kuah ke Langkawi Cable Car lebih-kurang 30KM, manakala dari Pantai Cenang pula ialah kira-kira 20KM.

Kereta Kabel Langkawi akan membawa penumpang ke puncak Gunung Mat Chincang. Disepanjang perjalanan lebih-kurang 15 minit ini, penumpang akan dapat melihat pemandangan hutan semulajadi yang menghijau dari udara, kata orang putih bird eye's view. Apabila semakin tinggi, lautan dan pulau-pulau kecil diperairan Langkawi mula kelihatan. Penumpang juga dapat menyaksikan kelainan jenis pokok-pokok apabila ketinggian berbeza serta struktur batuan yang berusia lebih 500 juta tahun.

Semasa menaiki Kereta Kabel Langkawi, dari jauh kelihatan Gunung Mat Chinchang tersergam indah. Penumpang akan melihat hutan semulajadi yang meliputi kawasan ini. Dibahagian bawah, kelihatan pokok-pokok yang tinggi menghijau. Gondola akan melalui puncak pokok-pokok ini.

arikan lain yang ada dipuncak Gunung Mat Chincang ialah SkyBridge atau Jambatan Gantung. Ia adalah sebuah jambatan berbentuk melengkung yang dibina di puncak Gunung Mat Chincang. Jambatan ini digantung pada sebuah tiang (menara) setinggi 82 meter. Ia merentasi dua puncak dengan ketinggian lebih-kurang 100-meter dari tanah. Panjang jambatan dari hujung ke hujung ialah 125 meter.

Hanya 250 orang pengunjung sahaja boleh berada diatas jambatan pada satu-satu masa. Pada yang berminat untuk merasa debaran berada diatas jambatan gantung ini, tiket boleh didapati melalui kaunter tiket SkyBridge di Stesen Atas. Harga tiket dewasa ialah RM6 dan kanak-kanak RM4.

2.Underwater World Langkawi

Underwater World Langkawi ialah salah satu tempat menarik paling popular dikalangan pelancong yang melawat pulau bebas cukai ini. Hampir semua ejen pelancongan memasukkan tempat ini sebagai salah satu lokasi lawatan didalam pakej mereka. Underwater World Langkawi menawarkan koleksi akuarium yang menempatkan berbagai spesis hidupan air tawar dan hidupan laut dari serata dunia. Underwater World Langkawi terletak di Pantai Cenang. Lokasinya ialah dihujung pantai, diatas bukit yang menjadi pemisah Pantai Cenang dan Pantai Tengah.

3.Kota Mahsuri Langkawi

Kota Mahsuri Langkawi adalah antara tarikan pelancongan utama di Pulau Langkawi, Kedah. Ia dibangunkan di kampung asal Mahsuri dimana beliau dikebumikan. Selain Makam Mahsuri, berbagai artifak peninggalan sejarah dikumpulkan di dalam sebuah kompleks yang luas. Perkampungan kecil termasuk rumah-rumah tradisional dibina semula berdasarkan seni rekabentuk pada zaman itu. Kota Mahsuri terletak di Kampung Mawar, Mukim Ulu Melaka.Lokasinya sangat menarik dimana pemandangan sawah padi dan bukit-bukau yang menghijau begitu mempersonakan.
Kota Mahsuri Pulau Langkawi adalah destinasi tarikan pelancongan Warisan dan Sejarah. Tarikan utama adalah Makam Mahsuri yang terkenal dengan lagendanya.  Namun ia tidak terhenti disitu sahaja.

Pengunjung dapat melihat dan mempelajari budaya, rekabentuk dan senibina serta artifak selain sejarah itu sendiri. Tempat pertama yang anda akan lalui setelah membayar tiket masuk ke kota ini ialah bangunan Kota Mahsuri. Ia agak luas dan pengunjung akan mengikut laluan dimana pameran kebudayaan, lukisan dan artifak sejarah dapat dilihat.




PENGARANG SASTERA - SITI ZAINON ISMAIL

 

Siti Zainon Ismail dilahirkan di Gombak pada 18 Disember 1949, penyair tanah air yang mempunyai riwayat yang panjang dalam bidang penulisan seni sastera, budaya dan akademik. Beliau merupakan lulusan Sekolah Menengah Aminuddin Baki (1964-1968). Di samping meminati penulisan, Siti Zainon Ismail berbakat sebagai pelukis dan pernah dididik oleh Idris Salam dan Naz Achnas. Oleh sebab cita-citanya membumbung tinggi, dalam usia 20 tahun, selepas Sijil Tinggi Pelajaran, beliau meneruskan pengajiannya di Yogyakarta, mengambil jurusan Seni Lukis di Akademi Seni Rupa Indonesia (ASRI). Beliau pernah berdampingan dengan pelukis terkenal Indonesia seperti Affandi dan lain-lain.

Siti Zainol Ismail mengarifi ABC seni lakon, seni tari dan seni lukis. Pedagogi dan filsafat seni juga ditekuni. Apabila beliau kembali ke tanah air, beliau meneruskan tingkat Sarjana Sastera (pengkhususan Reka Bentuk Tradisional Melayu) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan seterusnya Ijazah Doktor Falsafahnya (Busana Melayu) di Universiti Malaya (UM) melalui asuhan Profesor Mohamad Taib Osman dan Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.

Pada tahun 1976, Siti Zainon Ismail menjadi tutor di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM. Beliau menjadi pensyarah pada tahun 1980-1992 di universiti yang sama. Kemudian beliau diangkat menjadi Profesor Madya pada tahun 1995-1996. Beliau dilantik sebagai Felow Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM. Siti Zainon Ismail seterusnya dilantik sebagai Pengarah Unit Kebudayaan Melayu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UKM (1996-1999). Dilantik sebagai Profesor Kebudayaan Melayu, Sejarah Seni dan Ketamadunan  Melayu, Pusat Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM pada tahun 2003-2004. Pada tahun 2006, Siti Zainon Ismail dilantik sebagai Profesor Luar Biasa di Universitas Jabal Ghafur, Aceh Indonesia. Pada tahun 2007-2008 beliau dilantik sebagai Sarjana Tamu di ATMA. Pada tahun 2009-2010, beliau menjadi Ahli Lembaga Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor. Pada 2010-2014 menjadi Pensyarah Bebas Warisan Budaya dan Estetika. Pada tahun 2014-2016 beliau menjadi Profesor Sejarah dan Estetika Seni dan Penyelaras Kursus Teras di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dengan kelulusan dan pengalaman yang luas itu, garapan seninya melalui puisi dan cerita pendek digarap secara berestetika. Jika puisinya bernada tinggi bagi membela rakyat yang hina dina, dibawakannya dalam nada yang bukan propaganda. Siti Zainon Ismail memenangi Hadiah Karya Sastera 1976 untuk puisinya “Romansa Petani di Gunung”.

Pembelaannya terhadap masyarakat marhaenbukanlah secara pretense. Bapanya, Ismail bertahun-tahun bekerja sebagai buruh kereta api yang membakar dan menempa besi menjadi alat bagi bola-bola besi dan roda kereta api di bengkel kereta api Sentul. Dia menghayatinya dalam “Tukang Besi di Bengkel Keretapi”.

Sensitiviti Siti Zainon Ismail terhadap erti kehidupan dan maruah diri rakyat kecil mengangumkan. Namun sebagai sasterawan beliau terus mencari makna diri dan peribadinya sebagai penyair. Beliau mencari pengucapannya yang tidak lagi meniru penyair besar sebelumnya yang terbayang dalam kreativitinya. Apalagi beliau sudah maklum akan erti seni audio-visual yang dipelajarinya di ASRI. Seni audio-visual yang diperkasakan dan dikuasai nya bertahun-tahun di ASRI dimanfaatkan sepenuhnya. Beliau mencari makna Siti Zainon Ismail dalam keseniannya, seni puisi dan prosa serta seni lukisnya.

Selain memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia untuk puisinya, Siti Zainon Ismail sudah dimartabatkan sebagai penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) dari Thailand pada tahun 1989. Beliau giat membaca puisi dan membentangkan kertas kerja pada peringkat Negara dan mancanegara. Pendapatnya didengar, kuliahnya mendapat perhatian para mahasiswa. Bidangnya selain persuratan Melayu, juga tentang hal ehwal seni budaya dan busana Melayu di Nusantara. Beliau pernah dilantik sebagai Profesor Luar Biasa di Universitas Jabal Ghafur, Aceh. Beliau juga pernah melakukan perjalanan seni marathon di Malaysia dan di Indonesia dengan mengadakan pameran lukisan dan bicara karya. Ketika ziarah seninya, beliau sempat bertemu dengan Presiden Habibie, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan kalangan sasterawan Indonesia berbobot seperti A. Hasjmy, Moechtar Lubis, Goenawan Mohamad, Taufiq Ismail, Ajip Rosidi, N.H. Dini dan lain-lain.

Lihatlah sumbangannya yang ilmiah, kreatif dan nonkretif. Perjalanan mengengsong langit dan bumi Tuhan dalam merembuk ilmu dan memintal keyakinan diri, rupa-rupanya beliaulah serikandi Melayu, anak Malaysia yang telah mengukir nama utuh di persada bumi Allah sebagai khalifah yang mengenal dirinya. Apa-apa yang ada dalam diri dipersembahkan kembali kepada anak watan dan dunia kemanusiaan. Padi yang kuan berisi, kian merunduk. Beliaulah butiran mutiara dalam perut tiram tenggelam di samudera dalam, kini mengerlap dengan cahanya. Beliaulah butiran Sasterawan Negara Ke 14 yang menyosong dan tak diendahkan wajahnya sebelum ini. Namun Kun Fa Yakun sudah menampilkan Kun-Nya. Marilah kita meraikan kemenangannya atas 99 nama dan sifat Allah yang indah.

BUKU SASTERA- SUNGAI MENGALIR LESU (A. SAMAD SAID)

 

Berdasarkan pengalaman nyata dari Singapura pada zaman perang pendudukan Jepun lahirlah sebuah novel realisme sosial yang merakamkan nasib sekelompok manusia yang diberi judul Sungai Mengalir Lesu. Novel ini merupakan karya pengarang besar sasterawan A Samad Said (mesra dipanggil Pak Samad). Sungai Mengalir Lesu, merupakan novel kedua Pak Samad. Novel ini lahir selepas karya sulungnya,  Salina (1961). Seiringan dengan tajuk, dari latar jambatan dan sungai di kota Singa ini terbentang sebuah kehidupan manusia disekitar kawasan itu.  Sungai Mengalir Lesu setebal 153 halaman padat dengan watak-watak berbilang bangsa dan agama, berbeza usia, gender dan tempat. Tetapi semua perbezaan itu dipertemukan pengarang dalam novel ini menerusi jalinan persamaan nasib, iaitu korban peperangan!

Justeru itu, jambatan hijau dan sungai menjadi elemen penting yang menghubungankan watak-watak dalam novel ini. Permasalahan yang diketengahkan pengarang ternyata memberi impak yang berbeza dengan novel lain pada waktu itu. Namun begitu, rasa kemanusiaan itu tetap sama. Pengarang menjelaskan bahawa perang mengakibatkan masalah bekalan makanan dan kebuluran. Dalam keadaan yang tegang dang terdesak pada waktu itu, sungai adalah amat penting dan menjadi sumber rezeki.

Penciptaan novel Sungai Mengalir Lesu ini terhasil dengan gabungan sensitiviti dan kreativiti A. Samad Said. Idea-idea beserta pengalaman hidupnya yang lampau semasa tinggal di Singapura banyak menjadi inspirasi untuk menyusun jalan cerita ini.

          Tidak seperti novelnya yang sebelum ini, Salina. Kali ini A. Samad Said membuat kelainan sedikit dari segi ketebalan dan juga skop manusia yang terlibat. Jika dalam novel Salina, skop manusia yang ditampilkan adalah individu. Dalam Sungai Mengalir Lesu, isu yang lebih luas dan melibatkan keluarga demi keluarga, kisah sebuah kampung, sebatang sungai dan sekumpulan manusia dalam suatu era yang mengerikan. Dalam novelnya kali ini, A. Samad Said merakamkan satu peristiwa yang besar dan luas dalam suatu ruangan terbatas.

Sebagai seorang yang sememangnya membesar semasa zaman penjajahan, pastinya tidak menjadi masalah untuk beliau menggambarkan keadaan pada ketika itu. Isu peperangan yang diangkat dalam novel ini sesuai dengan pengalaman peribadinya yang pernah melihat bagaimana British dan Jepun menakluk Tanah Melayu.

Novel ini bermula sewaktu penghujung pendudukan Jepun di Singapura, semasa perang Pasifik dan kemaraan Tentera Bersekutu di Asia. Sepanjang cerita ini, pembaca akan dapat merasakan perasaan kegugupan akibat bom-bom yang meletup merata-rata tempat.

A. Samad Said melihat penciptaan novel seperti Sungai Mengalir Lesu cukup penting sekarang ini. Terutamanya dalam keadaan masyarakat dipisah-pisah, diasingkan, terbiar bergelap, tanpa sedar, terkapai-kapai dan sedang meniti kekaburan masa depan.

Gaya penulisan A. Samad Said sememangnya berbentuk balada dan naratif. Jika isu pelacuran dan kawasan setinggan yang terdapat dalam mana-mana karya beliau mempunyai similar dengan novel Salina, isu zaman penjajahan di Singapura pula juga mempunyai similar dengan novel Di Hadapan Pulau.

SEJARAH NGERI BELANDA

  Cuba bayangkan, seorang presiden dibunuh dan dimakan oleh rakyatnya sendiri kerana kegagalan melindungi negara mereka. Tragedi itu terjadi...