Saturday 21 January 2023

SRENGENGE - KARYA SHAHNON AHMAD

Srengenge karya Shahnon Ahmad mengambil latar sebuah kampung Melayu yang terletak di Sik, Kedah dan masih mundur serta berpegang kuat pada kepercayaan animisme. Srengenge adalah sebuah bukit yang terletak di sebuah kampung tersebut yang kaya dengan merbau, meranti, pinang, rotan serta dihiasi juga oleh hidupan lain seperti gajah, harimau, pelanduk, landak, tekukur dan punai. Kebanyakkan penduduk kampung adalah pesawah, ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Masa lapang banyak dilepaskan begitu sahaja. Tidak kurang juga penduduk kampung yang gila menjerat pelanduk atau meracik tekukur.

Bagi Awang Cik Teh, Srengenge itu tidak mendatangkan kebaikkan kepada orang kampung melainkan kemudaratan semata-mata. Manakan tidak, Srengenge dipuja, diberi makan oleh orang kampung dengan harapan hidup mereka sentiasa tenang dan aman. Oleh itu, Awang Cik Teh berhasrat untuk menutuh bukit itu dan digantikan dengan tanaman pisang, timun, ubi dan paling tidak pun menjadikannya sawah untuk menanam padi bukit.

Isterinya, Keghesum hanya menurut sahaja. Sudah masak dengan perangai Awang Cik Teh, setiap apa yang dirancang, pasti akan dilakukannya walaupun mendapat tentangan. Seperti dijangka Keghesum, cadangan dan niat Awang Cik Teh mendapat tentangan orang kampung, termasuklah Imam Hamad, anak saudaranya sendiri. Imam Hamad sedar, jika Srengenge ditumbangkan, maka hilanglah tempat untuknya meracik burung.

Tragedi bermula apabila Jebat, tekukur kesayangan Imam Hamad tewas di gelanggang Srengenge. Imam Hamad sangat marah sehingga nekad untuk mengumpulkan orang kampung bagi tujuan memugar Srengenge. Perubahan keputusan yang menghairankan Awang Cik Teh namun dalam masa yang sama beliau gembira kerana akhirnya cadangannya diterima oleh Imam Hamad.

Malangnya belum sempat Srengenge dipugar, Imam Hamad jatuh sakit, meracau sehingga tidak sedarkan diri. Orang kampung mula gusar kerana merasakan penyakit Imam Hamad ini ada kaitan dengan ketegasannya untuk memugar Srengenge. Mungkin, penunggu Srengenge sedang marah kerana tempat tinggal mereka terancam. Mungkin juga Imam Hamad ada tersalah laku ketika Jebat sedang berlawan di gelanggang. Atau mungkin juga Jebat yang mati terseksa datang menghantui Imam Hamad atas kebiadapan tuannya itu. Orang kampung nekad Srengenge harus dipujuk. Hanya dengan cara itu, Imam Hamad akan sembuh. Namun, Allah lebih tahu takdir terbaik buat Srengenge, Imam Hamad dan penduduk kampung sekalian.


Menyikap semula apa yang diketengahkan di dalam novel Srengenge, cuba kita balikkan dalam masyarakat kita. Apakah nilaian masih terus berlangsung?. Jawapannya Ya! Unsur-unsur animisme masih ada. Kepercayaan kepada bomoh juga masih ada. Kita boleh lihat pada kemunculan Bomoh Teropong yang mencari MH370. Filem-filem bergenre hantu juga diratib oleh penerbit-penerbit filem.Kini, dalam bentuk “agamawan jadian”, yang menjual agama untuk memuaskan hawa nafsu. Menyalahgunakan nas-nas agama pada perkara yang tidak betul. Kita boleh lihat dengan kepala mata kita sendiri. Lain, kerukunan masyarakat kini juga semakin terhakis. Sikap “jaga tepi kain orang” yang dikatakan tidak elok kadangkala amat berguna pada situasi yang betul. Seterusnya, manusia yang baik jikalau hatinya baik pasti dia baik pada makhluk sekelilingnya. Ihsan pada binatang, ihsan pada alam dan paling penting ihsan pada manusia. Tidak berguna kalau pergi haji 10 kali pun jikalau akhlak dan adab kita kosong. Latar masa Srengenge memang beza dengan kini, ketika itu keadaan hutan masih lagi baik. Manusia masih bersahabat baik dengan hutan. Hutan itulah tempat diambilnya kayu dibuat rumah, diambilnya madu dibuat jual, hutan itu jugalah diambilnya hasil dibuat makan. Sumber utama ketika itu. Kini, hutan tidak dipanggil kawan, tidak dipanggil sebagai sahabat. Asalkan digondol, dan dikutip duitnya. Maka tertegaklah hutan-hutan konkrit. Itu semuanya fulus dan fulus. Nafsu manusia.


Novel Srengenge ini amatlah baik untuk dibaca dan diambil pengajarannya. 

No comments:

Post a Comment

SEJARAH NGERI BELANDA

  Cuba bayangkan, seorang presiden dibunuh dan dimakan oleh rakyatnya sendiri kerana kegagalan melindungi negara mereka. Tragedi itu terjadi...